Rakyat Malaysia akan rasai gaji lebih tinggi tahun depan — Rafizi


  • Primer
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Rafizi berkata, rakyat Malaysia dijangka akan merasai peningkatan gaji yang lebih tinggi bermula pada tahun depan. — Gambar hiasan

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menjangkakan rakyat Malaysia akan merasai peningkatan gaji yang lebih tinggi bermula pada tahun depan.

Katanya, itu merupakan sebahagian daripada hala tuju penggajian yang sedang dirangka oleh kerajaan pada waktu ini.

"Rakyat akan merasai gaji yang lebih tinggi tahun depan apabila saudara (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) mengumumkan peruntukan kerajaan untuk menaikkan gaji rakyat dalam belanjawan yang akan diumumkan dan dibentangkan dalam bulan oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program debat bersama Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman bertajuk 'Model baru ekonomi Malaysia' yang diadakan pada Rabu.

Kenyataan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu dikeluarkan bagi menjawab tuduhan ditimbulkan berkenaan ketiadaan perancangan oleh kerajaan dalam menetapkan hala tuju ekonomi negara.

Pada Rabu, Anwar berkata, Kerajaan sedang berusaha mencari dana bagi menampung sebahagian daripada bayaran pelarasan gaji pekerja di sektor swasta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sebelum itu pada Isnin turut mengumumkan bahawa cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibawa kepada Jemaah Menteri.

Ia bertujuan bagi membolehkan ia diperhalusi dari segi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan dasar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, kerajaan ketika ini sudah pun sedang melaksanakan beberapa penyelesaian terhadap isu ekonomi dihadapi Malaysia dengan beberapa impaknya sudah pun boleh dirasai oleh rakyat.

Kata beliau, antara kesan tersebut adalah penurunan kadar inflasi negara yang kini berada di paras terendah sejak 12 bulan lalu dan pemulihan keyakinan dalam kalangan pelabur sama ada yang berbentuk jangka panjang mahupun pendek.

"Pelabur jangka pendek juga telah kembali ke Bursa Saham kita pada kadar lebih tinggi berbanding negara serantau ASEAN ini dalam tempoh dua bulan yang lalu.

"Jadi adakaha ekonomi kita telah pulih. sudah tentu tidak. Tapi kita berada pada landasan yang baik.

"Jika kita kekal pada landasan ini, insya-ALLAH Malaysia dijangka akan menyertai kelab negara berpendapatan tinggi atau sering disebut negara maju antara 2026 dan 2028," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram