[VIDEO] 'Well done', KJ dan Shahril Hamdan puji Rafizi Ramli


  • Massa
  • Selasa, 01 Ogos 2023

KJ (kiri) dan Shahril Hamdan (kanan) turut memuji Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama yang dilancarkan pada 27 Julai lalu.

KERAJAAN memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin meluas yang akan membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050 menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama yang dilancarkan pada 27 Julai lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelan tersebut diharapkan akan membantu mengubah ekonomi negara dengan membuka usaha sama menguntungkan yang juga baik untuk alam sekitar dan ekonomi.

Menurutnya, pelancaran NETR juga menandakan perubahan penting dalam pemikiran dan ia bukan saja dokumen yang mengandungi langkah sementara untuk memenuhi sasaran sifar bersih negara, tetapi ia adalah gabungan strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi, mata pencarian dan kedudukan negara di dunia.

Perkembangan tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan yang menyifatkan tindakan memperkenalkan pelan hala tuju berkenaan adalah salah satu langkah positif yang diambil Rafizi.

Beliau berkata, antara elemen yang menarik perhatiannya adalah kesepaduan yang melibatkan entiti atau pemegang modal tertentu.

"Saya cuma nak komen beberapa perkara atau pun isu yang saya fikir positif, yang perlu dikemukakan juga.

"Anda (Rafizi) dapat 10 projek pemangkin, anda mendapat semua pelaburan ini dan sebagainya, yang saya tertarik dan (merasakan perkara itu) bagus, ada kesepaduan membabitkan entiti.

"Kerajaan ataupun identiti nasional, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sebagainya, misalnya Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan UEM untuk loji janakuasa solar," katanya menerusi Program Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin turut menyifatkan pelan tersebut merupakan satu usaha yang perlu diberikan pujian.

"Ini Rafizi yang saya kenal, kawan saya. Ramai yang ejek dia, kata dia Raja Formula dan sebagainya, tetapi dia buat apa yang dia mampu buat dengan baik, well done," ujarnya.

Rafizi memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin meluas yang akan membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Menyentuh mengenai pemegang modal dalam inisiatif tersebut, Khairy Jamaluddin berkata, dengan adanya pelan tersebut, pihak pelabur akan lebih yakin untuk membuat pelaburan dalam agensi tertentu.

"Capital owners tahu dia nak melabur di mana, ini yang menjadi pertikaian selama lapan bulan, dia tak tahu dia nak melabur di mana sebab tak ada hala tuju yang jelas.

"Tapi bila diumumkan begini, kerajaan akan double down dalam 10 inisatif ini, maksudnya orang pun beranilah untuk keluarkan pelaburan itu, ini yang dimaksudkan dulu.

"Sekarang bukan hanya Sime props, UEM atau Khazanah akan melabur, tapi kita juga akan melihat semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan kejuruteraan untuk solar ini, juga akan dapat peluang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram