Orang mati didaftar insurans? Lelaki persoal skim Insan Selangor atas nama arwah ibu


  • Massa
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Fais Al-Hajari mendakwa terdapat kebocoran data membabitkan arwah ibunya yang sudah meninggal susulan notis pendaftaran skim INSAN yang diterimanya.

SEORANG individu lelaki terkejut apabila menerima maklumat menyatakan arwah ibunya yang sudah meninggal dunia, didaftarkan sebagai penerima skim Insurans Rakyat Selangor (INSAN).

Menurut Fais Al-Hajari, ibunya yang sudah meninggal sejak 31 Mei 2022 kini didaftarkan dengan skim insurans tersebut yang bernilai RM10,000 sejak 9 November 2022.

"Macam mana mak saya, Aripah Damanhuri yang dah meninggal dunia sejak 31 Mei 2022 boleh mendaftar untuk Skim Insan ini pada 9 November 2022.

"Bila masa mak saya keluar dari kubur daftar skim ini, seingat saya mak saya tak dikebumikan dengan telefon pintar.

"Mustahil mak saya boleh muat turun aplikasi Wavpay untuk daftar dari dalam kuburnya, mengarut bukan," katanya di laman Facebook pada Rabu.

photo_2023-08-23_14-31-11

Butir diri pendaftaran berkaitan skim (INSAN) Selangor yang didakwa palsu. — Facebook/ Fais Al-Hajari

Mendakwa data peribadi keluarganya telah dibocori oleh pihak terbabit, Fais Al-Hajari berkata, dia dan rakan-rakannya akan membuat laporan polis diikuti dengan sidang media berhubung perkara tersebut.

Dalam satu lagi hantaran dimuat naik pada Rabu, dia menjelaskan bahawa tiada sebarang tindakan mendaftar pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya menafikan bahawa saya pernah membuat apa-apa permohonan untuk menyertai skim insurans tersebut. Saya tidak pernah menandatangani apa-apa surat permohonan, surat persetujuan atau sebarang kontrak insurans dengan skim berkenaan.

"Saya percaya maklumat sulit dan data peribadi saya telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar dalam skim INSAN ini.

"Tujuan saya membuat laporan polis ialah untuk menuntut pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan saya bimbang jika berlaku apa-apa perkara di kemudian har," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram