SEBUT sahaja nama Datuk M Nasir, pastinya lagu-lagu popular seperti Mentera Semerah Padi, Tanya Sama Itu Hud-Hud, dan Andalusia berlegar-legar dalam fikiran.
Anak keempat daripada sembilan beradik itu juga baru sahaja mencecah usia 66 tahun pada 4 Julai lalu.
Sepanjang karier seninya sejak 1978, anak kelahiran Singapura itu telah menerbitkan sebanyak 22 album dengan 64 single malar segar yang masih didengari sehingga ke hari ini.
Selain aktif dalam bidang nyanyian, beliau kemudiannya menceburi industri lakonan sejak 1986 menerusi filem Kembara Anak Seniman sebagai penulis skrip.
Melihat peluang yang ada di depan mata, M Nasir terus menyerlahkan bakat terpendam dalam bidang lakonan sehingga filem Puteri Gunung Ledang menjadi satu fenomena menerusi wataknya sebagai Hang Tuah menjadi bualan ramai.
Tidak cukup dengan itu, sebenarnya terdapat tiga filem popular lain yang dibintangi beliau pernah pecah panggung pada satu masa dulu:
Fenomena (1990)
Karya sulung arahan Aziz M Osman itu mengisahkan seorang penggembaran wanita British lahir di Malaysia dan kembali ke negeri Terengganu yang menjadi tempatnya menghabiskan zaman kanak-kanak.
Selain M Nasir, filem yang memenangi enam anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-9 pada 1991 itu turut dibarisi pelakon lain seperti Ramona Rahman, dan Amy Search sebagai watak utama karya tersebut.
Selubung (1992)
Filem bergenre romantik ngeri itu berkisar tentang seorang graduan yang menjadi sukarelawan untuk membantu orang di Palestin.
Karya arahan Shuhaimi Baba itu juga pernah sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-10, lagu gubahan M. Nasir turut memenangi Lagu Terbaik dalam festival berprestij itu.
Merah (1996)
Selain menjadi salah seorang hero, M Nasir mencabar diri untuk duduk di kerusi pengarah buat pertama kali bagi filem bergenre aksi dan romantik.
Bukan sahaja mendapat maklum balas positif, karya edaran Skop Production itu turut mencatat jumlah kutipan pecah panggung sebanyak RM1.5 juta daripada bajet berjumlah RM1.1 juta.
Tidak cukup dengan itu, filem tersebut turut merangkul pemenang kategori Anugerah Filem Terbaik dalam Anugerah Skrin 1997. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram