SEBUAH kios viral menjual pemanis mulut dari Timur Tengah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dipercayai telah disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.
Gerai yang dikenali dengan nama Zaitoun itu hangat diperkatakan warga maya baru-baru ini.
Ia susulan tular beberapa video di laman TikTok memaparkan adegan pelanggan dilihat sedang berjoget terkinja-kinja di hadapan penjual semata-mata ingin mendapatkan manisan secara percuma.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan pada Ahad mengesahkan bahawa Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum ini telah menjalankan pemantauan di premis tersebut.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL untuk sebarang aktiviti menjaja.
"Premis tersebut hanya mempunyai Lesen Hiburan Semasa (Promosi Luar Bangunan). Selain itu, aktiviti perniagaan tersebut turut dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah.
"Susulan daripada hasil pemantauan tersebut, sebuah operasi penguatkuasaan telah dijalankan pada Sabtu di premis terbabit.
"Dalam operasi yang telah dijalankan itu, satu notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK3 (1) UUK Pelesenan Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dari DBKL dan premis tersebut turut diambil tindakan tutup serta merta (Sealed) di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.
Orang ramai dilihat mula menarik nafas lega susulan tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa atas aduan yang dibuat.
Perkara itu turut dikongsikan menerusi Twitter @khaitulazizi75 pada Ahad.
"Telah selamat disita. Sedih tengok anak-anak gadis Melayu jadi macam itu, kebulur macam mana sangat sampai sanggup buat macam itu.
"Allahuakbar, yang dia suap tu percuma, yang dalam bekas tu kena beli. Tapi kalau nak ambil kena joget-joget sikit baru dia bagi. Kalau kau 'menarik', dia suruh joget lama sikit," ciapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram