[VIDEO] 'Kiamat makin dekat', jemaah wanita sakan buat 'content' tarian dalam masjid


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Tangkap layar sekumpulan wanita sedang leka melakukan tarian TikTok di sebuah Masjid.

TULAR di laman media apabila sekumpulan wanita dilihat melakukan tarian untuk 'content' TikTok di sebuah Masjid Al Jabbar di Gedebage, Kota Bandung, Indonesia baru-baru ini.

Lebih mencuri perhatian, kerusi bangku yang dikhususkan buat golongan warga emas dan orang kurang upaya turut dipenuhi dengan individu yang sama melakukan tarian tersebut.

Situasi itu sekali gus mengundang pelbagai kecaman dalam kalangan warganet susulan video itu tersebar meluas di laman media kebelakangan ini.

Selain daripada boleh merosakkan akidah, tindakan sekumpulan wanita itu turut dikesali ramai kerana lokasi yang dilakukan itu adalah di tempat suci iaitu rumah ALLAH.

Muhammad Munasir meluahkan kekecewaannya berhubung insiden itu dengan mengatakan bahawa ini merupakan antara petanda kiamat sudah semakin menghampiri.

"Dunia ini sudah tenat, kiamat juga semakin hampir lihat saja tindakan manusia zaman sekarang yang langsung tidak menghormati rumah agama," katanya.

"Masjid bukan tempat untuk berseronok, memalukan kaum wanita zaman sekarang sudah hilang maruah dan adab sopan," ujar Rahadyan.

"Tidak dinafikan perkembangan teknologi ada kebaikannya, tetapi lebih banyak mendatangkan keburukan kalau dalam situasi seperti ini," tambah 5081_Rin.

Berhubung kejadian itu, Ketua Polis Jawa Barat, Ade Afriandi, turut mengulas lanjut berkenaan situasi tersebut.

"Kami sebagai petugas memang dilatih untuk bersabar kerana ramai pihak kini memang berasa marah akan situasi tersebut, tambahan pula kerusi yang disediakan adalah untuk kegunaan jemaah yang sakit ataupun yang tidak boleh menunaikan solat secara normal," katanya.

Menurutnya, beliau akan melaporkan perkara itu ke pihak atasan untuk mengeluarkan papan notis tentang adab pengunjung semasa berada di masjid berkenaan.

Masjid Agung Al Jabbar itu baru sahaja dirasmikan oleh Gabenor Ridwan Kamil pada 30 Disember tahun lalu.

Namun, meskipun baru sahaja digunakan masjid itu difahamkan sudah dihiasi dengan pelbagai perkara yang tidak baik dilakukan segelintir jemaah sehingga ia heboh diperkatakan di laman media.

Sebelum ini, tular satu kejadian apabila kanak-kanak dilaporkan berenang di kawasan kolam masjid dan sampah turut ditaburkan di halaman masjid. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram