GARA-GARA tidak memiliki kad lesen secara fizikal, dua lelaki tempatan dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand pada Khamis.
Meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki, polis di negara terbabit difahamkan enggan menerimanya sebagai pengenalan butiran diri yang sah sebaliknya hanya kad fizikal yang dibenarkan di sana.
Menerusi perkongsian di Twitter @Acapkay, individu terbabit menjelaskan situasi dialami selepas dia dan rakannya ditahan ketika menunggang motosikal di sebuah daerah dalam negara terbabit.
"Kalau bawa kenderaan ke Thailand, polis sana minta fizikal kad, kalau tiada boleh kena saman.
"Puas aku terangkan yang Malaysia dah tak pakai kad fizikal. Dia kata tak boleh, akhirnya aku dengan Iqbal Asyraff kena saman," ciapnya, pada Khamis.
Akibatnya, kedua-dua individu berkenaan ditahan polis di negara terbabit sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mula mempertikaikan pengenalan lesen baharu itu.
"Macam mana boleh kena tahan sedangkan kerajaan kita dah sahkan lesen digital boleh diguna pakai di negara lain," kata AiniHairun.
"Tak pasal-pasal kena saman, kita hanya ikut peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, tapi kena tanggung akibat pula di negara lain," ujar FairulKhidir.
"Banyak lagi benda yang perlu dilakukan Kementerian Pengangkutan, bukan semua negara terima akses digital macam ini, mungkin di negara maju seperti Eropah terima tetapi di Thailand dan Asia Tenggara masih belum (pakai)," tambah HaikalBB9.
Difahamkan, individu warga Malaysia yang memandu di Thailand tidak memerlukan lesen antarabangsa, sebaliknya hanya perlu memiliki lesen sah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Untuk rekod pada Februari lalu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian diubah kepada mod paparan digital secara berperingkat.
Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan lanjut dibuat oleh pihak berkenaan berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram