NAMA Muhammad Sadzri Hakim Jafar atau lebih dikenali sebagai Haqiem Stopa rasanya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi selepas bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkat dia sebagai ikon permotoran anak muda pada Mei lalu.
Walaupun diangkat sebagai ikon permotoran, namun pemuda berusia 22 tahun ini sering kali dilanda kontrovesi yang kurang menyenangkan.
Terbaharu, reputasi pemuda kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu sekali lagi tercalar selepas satu rakaman video memaparkan sekumpulan gadis menari secara menggiurkan di depannya.
Video tersebut menjadi tular selepas dimuat naik di halaman Facebook Rider Rare pada Isnin lalu dan mendapat perhatian orang ramai sehingga hari ini.
Dalam video itu, Haqiem dilihat berdiri sambil tersenyum melihat gelagat beberapa orang gadis yang menari secara kurang sopan di depannya.
Menariknya, lagu dangdut Perawan atau Janda nyanyian Cita Citata turut dimainkan dengan kuat.
Kejadian itu disyaki berlaku di salah satu aktiviti permotoran di Seremban, Negeri Sembilan namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan Haqiem dan sekumpulan gadis itu yang dianggap sebagai memalukan.
Menurut seorang pengguna Mat_Idham, perbuatan itu dianggap tidak senonoh dan melampaui batas.
"Berjoget, menari sambil tayang badan selepas itu si Haqiem pun layan. Ini ikon permotoran? Malu tengok," katanya.
Sementara itu, Syafiqah Abdullah menyifatkan perbuatan menari terkinja-kinja sebagai mencalarkan imej seorang wanita.
"Stopa dia mesti 'acah' bangga kan? Akak-akak ajak dia joget selepas itu terkinja depan muka dia," tulisnya.
Hilmi Amy turut melontarkan sindiran pedas pada ikon permotoran berkenaan.
"Maaf adik-adik, saya tak boleh ikut bergoyang sebab saya sudah diangkat menjadi ikon permotoran negara," katanya membayangkan itu yang mungkin dikatakan Haqiem.
Sebelum ini, Stopa menjadi bahan bualan warganet selepas dia terpalit isu tidak mempunyai lesen memandu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram