MASYARAKAT Malaysia dikejutkan dengan berita kematian 10 individu yang terkorban dalam insiden pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis (17 April).
Dalam kejadian itu, seramai lapan orang penumpang, dua kru pesawat dan dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta terlibat dalam tragedi tragis tersebut.
Berdasarkan pemeriksaan dijalankan, Ketua Polis Selangor, Asisten Komisioner Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan dua anak kapal dan enam penumpang berada dalam penerbangan tersebut dengan kesemua mereka maut di tempat kejadian.
Yang turut disahkan maut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang sekali gus menjadikan kes itu sebagai kes berprofil tinggi kerana membabitkan orang kenamaan.
Peristiwa itu sekali gus membawa masyarakat mengenang kembali kejadian yang pernah menimpa Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kira-kira lapan tahun lalu.
Operasi menyelamat dijalankan pihak bomba dan polis di lokasi pesawat terhempat dekat Elmina, Shah Alam. — Bernama
Tentunya tragedi yang berlaku pada 4 April 2015 yang mengorbankan Allahyarham Jamaluddin Jarjis dalam kejadian nahas helikopter terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih, masih segar dalam ingatan masyarakat.
Laporan akhir kejadian nahas itu berpunca daripada kecuaian juruterbang yang gagal memeriksa kebocoran minyak berlebihan dan kerosakan kepada bahagian lain helikopter itu selepas pendaratan kasar di Muadzam Shah, Pahang.
Allahyarham meninggalkan balu Puan Sri Kalsom Ismail, empat anak dan ibu mentuanya dengan harta sepencarian berjumlah RM2 bilion.
Kalsom (dua dari kiri) bersama tiga anaknya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Mei lalu. — Awani
Lima lagi individu lain yang terkorban ialah bekas ketua setiausaha sulit di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Razakan B Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.
Laporan saksi mengatakan helikopter itu meletup di udara pada pukul 4.50 petang sebelum terhempas di sebuah ladang getah dan meletup.
Nahas pesawat di lokasi sama 46 tahun lalu
Selain terkait dengan kisah Allahyarham Jamaluddin Jarjis, berita nahas pesawat itu juga menarik perhatian apabila peristiwa itu adalah yang kedua berlaku di kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16 dengan yang pertama pada 27 September 1977 yang mengorbankan 34 orang di dalam tragedi Japan Airlines (JAL) Flight 715.
Dalam kejadian itu, 26 penumpang dan lapan anak kapal meninggal dunia, manakala baki 43 yang lain dilaporkan selamat, demikian laporan The Star.
Japan Airlines Flight 715 terhempas ke sebuah bukit ketika ribut petir di Estet Elmina yang ketika itu masih ladang getah, kira, kira enam kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Nahas pesawat Japan Airlines 715 pada 27 September 1977. — Gambar fail The Star
Pesawat McDonnell Douglas DC-8 dengan 69 penumpang dan 10 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Kai Tak di Hong Kong.
Laporan penyiasatan DCA menyatakan pada masa nahas itu, cuaca buruk sekitar lapangan terbang dan pesawat berada pada sistem navigasi radio julat omni-arah frekuensi yang sangat tinggi untuk pendekatan pesawat.
"Siasatan bagi menentukan punca kemalangan adalah kapten menerbangkan pesawat di bawah altitud penurunan minimum tanpa melihat landasan dan meneruskan penurunan menyebabkan pesawat itu terhempas sebelum tiba ke lapangan terbang.
"Kematian kru penerbangan di lapangan terbang disebabkan cuaca buruk yang turut menyumbang kepada kemalangan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram