Khairil Azwan pernah 2 kali terlibat nahas udara, minta dikebumikan di kampung halaman di Bentong


  • Massa
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina pada Khamis. — Bernama

"JIKA saya meninggal dunia, kebumikan saya di kampung halaman", itu pesanan Khairil Azwan Jamaluddin, 43, yang merupakan antara mangsa tersenarai dalam senarai penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Pesanan itu diberikan kepada isterinya Nizatul Akmar Mohd Nasir, 43, awal bulan ini ketika menyumbang kepada khairat kematian.

"Dia ada pesan supaya dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Mempaga, Bentong, Pahang jika meninggal dunia kerana mahu saya dan anak-anak pulang ke kampung untuk menziarah dan melawat keluarga.

Saya akan penuhi hasrat dia dan sudah tentu keluarga pun mahu begitu juga," katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor pada Khamis.

KLANG, 17 Ogos -- Nizatul Akmar Mohd Nasir, 43, yang merupakan waris mangsa nahas pesawat yang terhempas Khairil Azwan Jamaludin kelihatan sugul ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang malam ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nizatul kelihatan sugul ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. — Bernama

Nizatul Akmar berkata, sebelum penerbangan itu, suaminya menghubunginya pada pukul 1.40 tengah hari tadi memberitahu penerbangannya pada pukul 2 petang dan dijangka tiba kira-kira 4 petang serta memintanya supaya menjaga diri.

"Suami sangat teruja dengan penerbangan kali ini...selalunya jika dia bersama Datuk Seri Johari Harun dia akan mengendalikan helikopter selaku juruterbang peribadinya tapi kali ini dia sebagai penumpang. Tak sangka itu adalah panggilan terakhirnya,” katanya.

Wanita itu berkata, suaminya merupakan seorang yang amat mengutamakan keluarga dan kebajikan ibu bapa serta adik-beradiknya.

Tambahnya lagi, pada mulanya, dia enggan mempercayai pesawat yang dinaiki suaminya terlibat dalam nahas itu dan berusaha untuk menghubungi individu yang menaiki penerbangan bersama suaminya tetapi gagal.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk menghubungi isteri Johari yang memberitahu pesawat dinaiki suami mereka terlibat dalam nahas itu.

"Saya bergerak ke sini dari Seremban (Negeri Sembilan) selepas Maghrib tadi bagi tujuan pengecaman jenazah," katanya.

Khairil Azwan meninggalkan tiga anak, kesemuanya lelaki berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Dalam pada itu, rakan baik Khairil Azwan, Roslan Aziz berkata, itu bukan merupakan kali pertama mangsa terlibat dalam nahas udara.

Menurut Roslan yang juga Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara, Bahagian Udara Ibu Pejabat Bomba Putrajaya Penguasa Kanan Bomba 1, kejadian pertama pernah dialami oleh rakan baiknya itu berlaku kira-kira 13 tahun lalu.

Pada waktu kejadian, Roslan berkata, dia ditugaskan menjadi juruterbang helikopter terbabit manakala Khairil Azwan pula bertindak sebagai pembantunya dalam operasi tinjauan udara pada musim perayaan Aidilfitri di Lebuhraya Pantai Timur dari Gombak, Selangor ke Kuantan, Pahang.

Roslan berkata, Khairil Azwan merupakan individu yang membantu mengeluarkan dan menyelamatkannya dari helikopter terbabit yang terhempas dalam insiden pada 16 September 2010.

"Ketika kemalangan itu, dialah yang menyelamatkan saya dengan mengeluarkan saya dari bangkai helikopter dan memberikan rawatan awal kepada saya yang cedera parah sebelum bantuan tiba.

"Kemalangan berlaku pada kira-kira 10.30 pagi akibat cuaca buruk dan pesawat cuba untuk berpatah balik tetapi gagal kerana jarak penglihatan yang sangat terhad dan kami terpaksa terbang rendah bila kami terlanggar dan terhempas di kawasan bukit,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, Khairil Azwan adalah individu yang dirujuknya untuk mendapatkan maklumat jika berlaku sebarang nahas seperti itu.

"Kali ini bila dengar ada kejadian kapal terbang terhempas di Elmina, saya cuba telefon dia untuk dapatkan maklumat tetapi sebaliknya dapat tahu nama dia tersenarai dalam manifest penumpang yang maut dalam nahas itu,” katanya.

SHAH ALAM, 17 Ogos -- Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan unit Forensik membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anggota JBPM dan unit Forensik membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam pada Khamis. — Bernama

Roslan turut menyifatkan sahabatnya itu, yang berasal dari Mempaga, Pahang sebagai seorang yang periang, sentiasa mengambil berat tentang rakan-rakan dan selalu bersemangat untuk terbang serta sentiasa berpesan kepada rakan-rakan untuk terbang dengan selamat.

Khairil Azwan, yang menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 2005, menjadi pembantu Roslan selama tiga tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya enam tahun kemudian untuk menyertai syarikat penerbangan swasta.

Nama Khairil Azwan dan Johari berada dalam senarai penumpang pesawat namun identiti mangsa perlu disahkan melalui proses forensik. Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tiada penumpang yang selamat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram