'Dia sangat manja', ibu juruterbang pilu terkenang kata-kata terakhir anak tersayang


  • Massa
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menenangkan Mahanum yang kelihatan sugul ketika sedang menunggu jenazah anaknya di Jabatan Forensik HTAR, Klang pada Khamis. — Bernama

"ADIK sayang mama," itulah kata-kata terakhir dilafazkan juruterbang pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1), Shahrul Kamal Roslan dalam perbualan bersama ibunya dua bulan lalu sebelum terlibat dalam nahas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada petang Khamis.

Mahanum Ismail, 67, berkata, sehingga kini, ayat yang diungkap oleh anak bongsu daripada dua beradik itu masih terngiang-ngiang ketika Shahrul Kamal menghubunginya semasa dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur pada 24 Julai lepas.

"Dia anak yang sangat manja dan kali terakhir saya bercakap dengannya adalah semasa saya di hospital, sehari sebelum saya menjalani pembedahan... sebelum meletakkan telefon, dia memberitahu saya adik sayang mama," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

SHAH ALAM, 17 Ogos -- Situasi terkini berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina dekat sini.Sebuah pesawat dilaporkan terhempas di atas jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina,--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis. — Bernama

Warga emas itu yang kelihatan lemah kerana baru selesai menjalani pembedahan usus dan hempedu terpaksa beberapa kali berhenti bercakap dek terlalu sedih dengan nahas yang menimpa anaknya.

Dia juga memaklumkan akan berbincang dengan ahli keluarga bagi pengurusan pengebumian sama ada jenazah anaknya itu disemadikan berhampiran kediaman keluarga mereka di Taman Melawati, Kuala Lumpur atau di tanah perkuburan Bukit Jelutong, Shah Alam yang berdekatan dengan rumah Shahrul Kamal.

Shahrul Kamal meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki berusia lingkungan 3 hingga 12 tahun.

Shamsul Azizan Md Nasir, 62, pula berkata, kehadirannya di pekarangan Jabatan Forensik HTAR adalah bagi mendapatkan kepastian sama ada penumpang bernama Khairil Azwan Jamaluddin adalah adik iparnya.

Dia berkata, adik iparnya adalah juruterbang peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

"Saya hanya inginkan kepastian sama ada dia berada dalam pesawat atau tidak... Saya dah cuba hubungi adik saya tapi tak dapat,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Beliau berkata, lapan daripada mereka adalah terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram