KECOH sebuah taman perumahan di Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang, Selangor apabila sebuah kereta dirakam cuba meloloskan diri daripada kenderaan polis dalam satu insiden yang berlaku pada malam Rabu.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat si pemandu yang cuba melarikan diri selepas melanggar lampu isyarat merah di laluan berkenaan dan sekali gus membahayakan empat lagi ahli keluarganya yang turut menaiki kenderaan jenis Toyota Vios terbabit.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 11 malam dengan penduduk di kawasan berkenaan turut menyaksikan insiden tersebut.
Tular di laman media, kejadian itu dirakamkan salah seorang saksi kejadian dan hangat diperkatakan sejak Rabu.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila anggota polis dari Unit kereta peronda (MPV) mengesan sebuah kereta telah melanggar lampu isyarat Batu 7, Sijangkang di Telok Panglima Garang, Selangor.
"Anggota MPV berkenaan telah mengarahkan supaya kenderaan tersebut berhenti.
"Bagaimanapun arahan itu tidak diendahkan dengan kereta tersebut terus memecut laju menyebabkan MPV mengejarnya.
"Proses mengejar itu adalah sejauh satu kilometer dengan memasuki kawasan taman perumahan Sijangkang Jaya sebelum penahanan dilakukan polis," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati kereta itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama isteri dan tiga anaknya.
Hasil pemeriksaan juga menunjukkan tiada apa-apa barangan salah dan mencurigakan di kenderaan itu.
"Proses mengejar itu adalah sejauh satu kilometer dengan memasuki kawasan taman perumahan Sijangkang Jaya sebelum penahanan dilakukan polis," ujarnya.
“Tindakan saman Pol 257 telah dikenakan kepada lelaki tersebut atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat yang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram