SEBUAH kapal terbang dilaporkan terhempas di sebuah jalan raya dekat Elmina 8, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul tiga petang.
Melalui maklumat awal dikongsikan di media sosial oleh orang awam, seramai dua anak kapal dan enam penumpang dipercayai maut dengan dua lagi individu melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.
Penduduk di kawasan berkenaan turut berkongsi rakaman insiden itu dengan rata-ratanya turut terkesan dengan kekecohan tersebut.
Pada masa sama, Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama sudah berada di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa, menurut perkongsian seorang anggota bomba Nasir Chin di Facebook.
Difahamkan, kapal terbang kendalian Jetvalet Sdn Bhd itu berlepas dari Langkawi dan dalam perjalanan ke Subang sebelum terhempas di Elmina.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, pesawat itu dinaiki enam orang penumpang dan dua kru penerbangan.
"Pesawat itu disahkan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV dari Lapangan Terbang Langkawi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Selangor, Asisten Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.40 petang.
"Pesawat yang berlepas dari Langkawi itu dibenarkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang apabila terputus komunikasi dengan menara kawalan.
"Namun, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh jalan raya di Elmina lalu melanggar sebuah kereta dan motosikal.
"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan, sekurang-kurangnya dua anak kapal dan enam penumpang berada dalam penerbangan tersebut dan kesemua mereka maut di tempat kejadian," katanya.
Tambahnya, seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal turut maut akibat kejadian tersebut.
“Kami masih belum dapat memastikan berapa ramai yang berada di dalam kereta itu dan kesemua mangsa akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk dibedah siasat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram