[VIDEO] Lambat tekan brek dan elak, penunggang tercampak rempuh kereta di lorong kecemasan Lebuhraya Besraya


  • Tular
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan sebuah kenderaan di lorong kecemasan Lebuhraya Besraya. Sungai Besi, Kuala Lumpur.

SATU kemalangan tragis dilaporkan berlaku di Lebuhraya Besraya, Sungai Besi, Kuala Lumpur membabitkan seorang penunggang motosikal dan kereta pada Rabu.

Dalam kejadian tersebut, penunggang terbabit dirakam menunggang laju di lorong kecemasan sebelum merempuh sebuah kereta yang berhenti di laluan terbabit.

Gagal menekan brek dan mengelak, penunggang itu kemudiannya terjatuh dan tercampak ke tengah jalan sekali gus menyebabkan kenderaan lain di belakang berhenti untuk melihat keadaannya.

Dirakamkan menerusi kamera dashcam, rakaman berdurasi 38 saat itu tular di laman media sejak Khamis.

Dalam pada itu, orang ramai berpendapat bahawa kemalangan itu berpunca akibat tindakan si penunggang yang tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Selain menunggang laju di lorong kecemasan, kereta terbabit juga dikatakan tidak bersalah kerana telah menyalakan lampu kecemasan ketika kejadian.

"Kalau ikutkan kereta itu tak salah sebab dah nyalakan lampu kecemasan, lagipun dia berhenti di lorong yang sepatutnya," kata Fairul Azman.

"Salah penunggang sebab kurang bagi perhatian dekat laluan kecemasan, nampak gaya macam kereta itu dah lama berhenti di situ, bukan tergesa-gesa yang boleh buat trafik kelam kabut," ujar Kancil Hybrid.

"Mungkin penunggang itu tak perasan, bawa laju dan tak sempat mengelak sampai rempuh kereta rosak tersebut," tambah Mohd Khusyairi.

Penunggang dikatakan tidak mengalami kecederaan serius namun sehingga kini masih belum ada sebarang maklumat lanjut berkaitan kemalangan terbabit.

Perkongsian di laman media juga tidak menyatakan sebarang status terkini mengenai si penunggang dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram