Usai PRN, 3 YB di Selangor perlu kerja 'overtime', selesai krisis banjir berlarutan


  • Massa
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Tiga wakil rakyat di DUN Selangor perlu bekerja keras selepas tamat PRN baru-baru ini.

SELESAI Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos lalu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah memiliki senarai calon Yang Berhormat di kawasan masing-masing.

Undian secara rasmi telah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dengan Selangor masih kekal dimenangi oleh parti Pakatan Harapan (PH) apabila memenangi 29 kerusi Dewan Negeri dari 56 kerusi yang dipertandingkan.

Di sebalik kejayaan itu, rakyat pastinya ternanti-nantikan segala janji serta manifesto yang ditabur semasa kempen PRN sebelum ini.

Perkara itu dilihat lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah serta kemelut dihadapi di sesetengah kawasan yang terpencil dan kurang mendapat akses bantuan dari kerajaan.

Salah satunya adalah berhubung masalah banjir yang sering melanda di beberapa kawasan Selangor kebelakangan ini yang menyaksikan keselamatan penduduk kian terjejas dengan bencana tersebut.

berl

Beberapa daerah di Selangor sering terjejas akibat bencana banjir yang melanda. — Bernama

Kerap melibatkan beberapa kawasan 'hotspot' di Selangor, tiga wakil rakyat di DUN terjejas dijangka perlu bekerja lebih masa meskipun baru sahaja selesai PRN minggu lalu.

Berikut merupakan tiga individu Yang Berhormat 'terpilih' yang perlu tampil dengan usaha keras dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Datuk Abdul Rashid Asari.

1. Datuk Abdul Rashid Asari - YB DUN Selat Klang

Selat Klang sememangnya terkenal dengan kawasan perkampungan yang masih belum dinaik taraf dari segi kemudahan jalan raya dan kelengkapan fasiliti awam seperti stesen minyak dan pasar raya.

Namun, kawasan berkenaan juga tidak terlepas daripada bencana banjir yang sering melanda di kawasan berhampiran sungai khususnya di Kampung Delek, Klang, Selangor.

Kerap dinaiki air banjir, hujan lebat tanpa henti merupakan situasi yang amat ditakuti sebilangan penduduk di lokasi berkenaan dengan kediaman mereka mudah dimasuki air.

Beberapa faktor menjadi punca permasalahan tersebut dengan isu longkang tersumbat dan kepadatan kawasan perumahan yang tidak terkawal, masih gagal diselesaikan oleh pemimpin terdahulu.

Datuk Abdul Rashid Asari berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Selat Klang buat kali kedua berturut-turut.

Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menewaskan pesaing terdekatnya daripada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Datuk Mohd. Roslee Abd. Hamid dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 8,325 undi.

Danial Al Rashid

2. Danial Al Rashid - YB DUN Batu Tiga

Meskipun berstatus bandar raya, Shah Alam yang sememangnya lokasi membangun dan padat dengan bilangan penduduk juga tidak terlepas dalam krisis banjir yang melanda.

Terbaharu, seksyen 13 Shah Alam dilanda banjir pada Rabu sekitar pukul 3 petang yang menyaksikan enam kawasan turut terjejas dengan situasi tersebut.

Bencana itu telah menyebabkan beberapa laluan terpaksa ditutup selain kereta juga kelihatan ditenggelami air akibat tersangkut di tengah jalan.

Shah Alam merupakan lokasi bandar yang padat dengan bangunan serta pembangunan pesat seperti projek LRT3 yang sedang giat dijalankan.

Berbeza dengan kawasan di Selat Klang, bandar raya itu secara logiknya sepatutnya tidak berdepan dengan isu banjir dengan ketiadaan kawasan ataupun punca air sungai berhampiran yang boleh menaik hingga menyebabkan bencana tersebut berlaku.

Namun, sistem perparitan tidak teratur mungkin menjadi faktor ia terjadi dan tugasan selanjutnya perlu dilakukan oleh YB Danial Al Rashid yang menang dengan majoriti 3,382 undi menewaskan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun pada PRN lalu.

guna dalamm

3. Gunarajah George - YB DUN Sentosa

Gunarajah George mengukuhkan penguasaan PH di Selangor apabila menang dengan majoriti terbanyak iaitu 33,600.

Dalam pertembungan lima penjuru, beliau mendapat 38,106 undian ketika menentang Subramaniam A/L T Retnam daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 4,506 undi.

Selain itu, turut bertanding bagi parti Pas, Rajan Manikesavan mendapat 1,722 undi, Sundarajoo A/L A Periasamy (Bebas) memperoleh 95 manakala PRM yang diwakili M Telaiamblam mendapat 79.

Kejayaan itu pastinya disusuli dengan harapan serta kepercayaan penduduk di Taman Sentosa Klang yang mahukan perubahan serta penambahbaikan bagi kemelut banjir yang dialami sebelum ini.

Untuk rekod, penduduk khususnya di Lorong Dato Abdul Hamid, Taman Sentosa Ria, antara yang kerap terkesan dengan masalah berkenaan apabila terpaksa menanggung kerugian setiap kali bencana banjir berlaku.

Menurut laporan media, cuaca hujan melebihi satu jam akan membuatkan kawasan terbabit dinaiki air hingga ke paras buku lali yang sekali gus membolehkan ia memasuki ke kawasan kediaman mereka.

Terletak bersebelahan dengan longkang utama mungkin menjadi antara faktor utama paras air mudah meningkat lebih cepat berbanding kawasan lain.

Justeru, bermula detik ini, bantuan serta usaha ketiga-tiga wakil rakyat di atas amat ditagih dengan kepercayaan dan undian penduduk terhadap mereka sewajarnya dibalas dengan sebaiknya.

Cuaca yang tidak menentu di Selangor ketika ini dilihat amat membahayakan sebilangan masyarakat di kawasan terjejas maka, satu penyelesaian segera perlu dilaksanakan oleh pihak berkenaan dalam tempoh masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram