SIKAP rendah diri dipamerkan seorang pemandu kereta mewah jenis Lamborghini meraih pujian ramai selepas individu terbabit kekal tenang meskipun terlibat dalam satu kemalangan di Shah Alam, Selangor pada minggu lalu.
Pemilik kenderaan itu yang dikenali sebagai Abdul Rahim memuat naik perkongsian tersebut di laman Facebook dan mendapat lebih 1,000 komen serta seribu perkongsian.
Kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Kia dipandu warga emas dikenali sebagai Wong, telah membuat pusingan-U secara mengejut dan melanggar bahagian kiri kenderaan Super SUV milik Abdul Rahim.
Ekoran pelanggaran di lorong RFID itu, Abdul Rahim yang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur telah bertindak keluar daripada kereta mewahnya dan memeriksa bahagian dilanggar.
Walaupun keretanya dilanggar dan terdapat kesan pelanggaran, individu terbabit masih boleh tersenyum dan bersalaman dengan si pelaku.
Menerusi video tular itu, kedua-duanya dilihat telah menyelesaikan kejadian kemalangan dengan baik dan bersalaman.
Memuat naik tangkap layar mesej WhatsApp yang diterima daripada Wong di Facebook, warga emas itu memohon maaf atas kemalangan yang berlaku dan sedia bertanggungjawab sepenuhnya membayar kos baik pulih kerosakan.
Bagaimanapun Abdul Rahim menolak permintaan Wong dengan baik kerana kerosakan yang berlaku adalah kecil.
"Selamat pagi Encik Rahim, mohon maaf atas kemalangan malam tadi. Tolong terima permohonan maaf saya.
"Apabila sudah bersedia, sila beritahu saya sebut harga pembaikan kereta anda supaya dapat menyelesaikannya dengan lebih awal," kata Wong di dalam aplikasi WhatsApp kepada Abdul Rahim.
Tenang mengawal kemarahan dan situasi yang melanda dirinya, Abdul Rahim melihat kejadian itu sebagai masalah kecil dan sedia memaafkan warga emas tersebut.
"Saya menghargai bantuan anda, Encik Wong, tetapi nampaknya ia sedikit sahaja kerosakan.
"Kemungkinan besar saya hanya akan menyerahkan bil kepada syarikat saya sebagai penyelenggaraan kereta.
"Saya akan memberitahu anda di sini (WhatsApp). Saya doakan kesihatan yang baik untuk anda dan isteri," jawab Abdul Rahim.
Meraih pujian di laman media, rata-ratanya menganggap sikap ditunjukkan individu terbabit sebagai satu teladan yang perlu dicontohi ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram