POLIS memburu seorang lelaki yang didakwa meragut rantai emas dari leher seorang pembantu kedai kosmetik di Jalan Sekerat, Sungai Petani, Kedah pada Selasa.
Terdahulu, lelaki dipercayai berusia 30-an dan bertopi keledar itu dilihat masuk ke dalam premis kosmetik tersebut dan berpura-pura hendak membeli produk di situ.
Namun, ketika wanita terbabit memberi penerangan berkaitan produk, suspek bertindak meragut rantai lehernya sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), video berdurasi 38 saat itu tular di laman media sejak Selasa dan polis dilaporkan sedang mengesan suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian pada pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun berseorangan di dalam premis tersebut.
Beliau berkata, seorang lelaki tidak dikenali masuk ke dalam premis berkenaan dengan memakai topi keledar merah difahamkan ingin membeli produk dan bertanyakan mengenai salah satu barangan dijual di situ.
"Ketika mangsa memberi penerangan mengenai produk, ketika itulah suspek bertindak meragut rantai leher emas yang dipakai mangsa menyebabkan mangsa cuba melawan tetapi terjatuh.
"Suspek kemudian keluar dari kedai itu dan beredar menaiki motosikal yang jenis dan nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zaidy berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesan lebam di leher.
Beliau berkata, suspek dipercayai menanggalkan sebahagian nombor pendaftaran motosikalnya.
"Suspek hanya berjaya melarikan rantai emas berkenaan yang anggaran kerugiannya sekitar RM3,000," katanya.
Zaidy berkata, pihaknya sedang cuba mengesan suspek yang dipercayai berbadan gempal serta memiliki ketinggian 1.75 meter dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram