SEORANG pemuda berputih mata apabila kerugian lebih 79 juta Rupiah (RM23,000) selepas ditipu seorang lelaki yang menjanjikan untuk menjadikan dia sebagai seorang anggota tentera di Indonesia baru-baru ini.
Mangsa, Erwin Purnomo berusia 23 tahun menjadi mangsa penipuan suspek yang hanya dikenali sebagai AH.
Memetik laporan media tempatan, kabarmakassar. com, suspek meminta mangsa membayar sebanyak RM23,000 sekiranya ingin lulus ujian untuk menyertai Anggota TNI Angkatan Tentera Laut.
Susulan daripada berasa tertipu, mangsa yang berasal daripada Desa Borongtala, Sulawesi Selatan terus melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jeneponto, Supriadi Anwar mengesahkan sudah menerima laporan tersebut.
"Mangsa membuat laporan polis kerana berasa tertipu.
"Suspek meminta sejumlah wang daripada mangsa dan berjanji akan meluluskan permohonan mangsa untuk menjadi anggota tentera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Supriadi Anwar lagi, berdasarkan laporan mangsa, sepasukan polis dikerahkan untuk menangkap suspek.
"Suspek ditahan di tempat persembunyiannya di kampung Tamarunang, Desa Pa'biringa, Kecamatan Binamu, Indonesia pada pukul 9 malam Khamis.
"Ketika disoal siasat pegawai polis yang bertugas di Balai Polis Jenepoto, suspek mengaku menipu mangsa.
"Suspek didakwa melakukan penipuan dan penyelewengan terhadap mangsa dengan berjanji kepada mangsa sekiranya pelaku boleh melepasi mangsa menjadi anggota tentera laut dengan membayar sejumlah wang," katanya.
Suspek kini ditahan dan akan menjalani hukuman di penjara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram