Kesan pertikaian sempadan maritim Malaysia-Indonesia, merugikan negara?


  • Massa
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Hubungan akrab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Jokowi menjadi perhatian rakyat kedua-dua negara.

PADA 8 Jun 2023, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan pertemuan dua-hala yang berjaya memeterai beberapa perjanjian merangkumi aspek sekuriti, ekonomi dan pengiktirafan sijil halal.

Perkembangan bilateral ini menunjukkan hubungan antara kedua-dua buah negara ini menjadi semakin akrab dengan kepimpinan semasa yang bakal memberi impak yang signifikan terutama dalam sektor ekonomi.

Namun, antara perkara yang menjadi perhatian penulis ialah dua perjanjian yang melibatkan hak kedaulatan di kawasan selat Melaka dan Laut Sulawesi iaitu "Treaty relating to the Delimitation of the Territorial Seas of the Two Countries in the Southernmost Part of the Melaka Straits" dan "Treaty between Malaysia and Indonesia Relating to the Delimitation of the Territorial Seas of the Two Countries in the Sulawesi Sea."

Walaupun naratif yang positif cuba dibangkitkan oleh kedua-dua pihak kerajaan kerana berjaya menyelesaikan proses negosiasi yang mengambil masa hampir 18 tahun ini, terdapat beberapa kegusaran terhadap impak daripada perjanjian ini kepada keselamatan wilayah dan ekonomi Malaysia.

Hampir 18 tahun lamanya pegawai diplomatik dan ahli politik Malaysia-Indonesia berselisih faham dalam mencapai kata sepakat berikutan dua kawasan ini, jesteru apa justifikasi yang rasional untuk mereka bersepakat kali ini?

Jawapan simplistik seperti “ketokohan pemimpin” tidak sesuai untuk dijadikan hujah yang ampuh kerana ia bercanggah dengan teori dan konsep asas bidang hubungan antarabangsa yang menerangkan setiap negara akan berupaya memelihara kepentingan negara terlebih dahulu (realisme).

photo1686298810

Kawasan yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia di Selat Makassar.

Jika melihat kes ini secara menyeluruh, kita bakal memahami betapa tegasnya Malaysia-Indonesia dalam menuntut hak sempadan di dua kawasan ini sehingga mereka terpaksa membawa kes ini ke International Court of Justice (ICJ). Namun, mengapa sekarang naratif ini berubah?

Apa yang cuba disampaikan penulis, walaupun ada sisi positif melalui perjanjian bilateral ini yang menunjukkan nilai negara Asia Tenggara dalam menyelesaikan konflik di antara mereka itu wajar dipuji, namun ia tetap perlu dilihat secara komprehensif.

Melalui kenyataan rasmi Menteri Luar Negeri Malaysia-Indonesia, ia hanya menyatakan senarai perjanjian yang telah dimeterai dan tidak lebih daripada ekspresi positif hasil daripada kerjasama ini tanpa menyatakan perincian perjanjian tersebut.

Kegusaran ini juga bukanlah sesuatu yang aneh, kerana bekas diplomat ASEAN yang memuatkan kenyataannya melalui MalaysiaNow, turut menyuarakan nada negatif yang sama terhadap perjanjian melibatkan dua kawasan ini.

Menurut beliau, Malaysia berkemungkinan besar akan berhadapan kesan yang negatif terhadap Pelabuhan Tanjong Pelepas dan Tawau.

Langkah yang terbaik untuk Kerajaan Malaysia ialah menjadi telus dengan memberi perincian khusus berkenaan dua perjanjian yang melibatkan keselamatan negara ini. Tanpa ketelusan, komuniti akademik dan professional dalam bidang keselamatan tidak akan mampu memberi nilai tambah yang diperlukan oleh pembuat dasar. — Majoriti

Aiman Roszaimi, Pelajar Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan Tahun 1, di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram