PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa pelabur terkemuka di Putrajaya pada Selasa bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama.
Beliau berkata, langkah itu merupakan ikhtiar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI.
"Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan (sistem) ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
"Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perjumpaan itu disertai beberapa pelabur berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi serta syarikat berjaya.
Antara yang hadir ialah pengasas bersama Facebook, Eduardo Saverin; Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital, Raj Ganguly; Pengasas WM Partners, Alejandro Weinstein dan Pengasas European Venture Funds, Peter Kadas.
Perdana Menteri berkata, kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara malah membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
Anwar berbual bersama pelabur yang hadir dalam pertemuan pada Selasa di Putrajaya. — Facebook/AnwarIbrahim
Tambah Anwar, perjumpaan yang pertama seumpama itu membuka peluang untuk beliau dan pelabur terbabit berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama bagi mencapai matlamat ekonomi negara.
"Perbincangan turut menyentuh soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan,” katanya.
Beliau berkata, sesi berkenaan turut berkisar mengenai usaha memupuk persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan dan proses serta meningkatkan tatakelola selain memastikan kemampanan jangka panjang.
"Pertemuan itu turut menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dan pertumbuhan inklusif dengan komitmen untuk mengutamakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta menyumbang kepada agenda pembangunan mampan,” ujar beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, usaha berterusan kerajaan adalah untuk menyediakan persekitaran mesra pelabur yang memupuk inovasi, melindungi harta intelek serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
"Saya turut membuka ruang untuk para pelabur mengenal pasti peluang pelaburan yang sejajar dengan matlamat strategik di samping memenuhi keperluan masyarakat.
"Ini merupakan asas untuk potensi kerjasama dan pelaburan yang akan memberikan manfaat ekonomi besar untuk Malaysia dan rakyatnya,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram