[VIDEO] Rider sanggup bergadai nyawa redah banjir, pacak kon elak musibah lebih besar di Klang


  • Tular
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Tangkap layar seorang penunggang e-hailing meredah laluan banjir di Taman Klang Utama, Klang, Selangor pada Isnin.

HUJAN lebat yang melanda di beberapa kawasan daerah Selangor pada Isnin telah mengakibatkan laluan jalan raya dinaiki air banjir.

Namun, tindakan berani seorang pemuda e-hailing yang sanggup meredah banjir demi meletakkan kon pada laluan berlubang di Taman Klang Utama, Klang, Selangor mengundang perhatian warganet.

Laluan berlubang dan rosak itu difahamkan sudah lama tidak diperbaiki dan sering menjadi punca kemalangan pemandu mahupun penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut.

Menyedari situasi berkenaan, individu terbabit memberanikan diri untuk menyelam ke kawasan itu dan meletakkan kon jalan sebagai tanda amaran buat pemandu lain.

Lebih mengejutkan, pemuda itu kelihatan seperti sedang berenang di dalam sebuah kolam besar sebaik berada di kawasan bahaya tersebut.

Namun, melihatkan situasi itu, rata-rata warganet mengecam pihak kontraktor dan berkuasa yang dikatakan tidak peka dengan soal keselamatan pemandu susulan masalah laluan berlubang di situ.

"Jalan berlubang besar macam itu memang bahaya kalau orang tak tahu, apatah lagi kalau banjir macam ini, silap-silap boleh mati lemas," kata Siti Ufairah.

"Dah macam mandi kolam, punya la dalam lubang itu kita tak perasan sebab banjir naik tinggi, bahaya kalau penunggang motosikal lalu terus lemas," ujar Farhan Aqil.

"Terbaik abang ini, berani menyelam ke tengah walaupun tak nampak dalam lubang itu macam mana, tapi untuk keselamatan ramai dia sanggup berbasah," jelas Syakirinkaliss.

"Cuba bayangkan kalau tak perasan, tayar kereta mesti meletup, yang naik motosikal pula tercampak ke tengah, pihak berkuasa tolong buat pantauan di kawasan banjir," tambah M.Shaqeem990.

Dalam pada itu, individu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan situasi jalan raya di situ, diminta tampil ke pihak berkuasa untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram