‘SISTEM digital lebih mudah’. Demikian luahan seorang warga emas lelaki yang memuji pengenalan sistem pendaftaran secara atas talian yang dijalankan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa kini.
Merupakan proses pilihan raya pertama buat dirinya, Mohd Idris Abu, 65, menganggap ia sebagai satu rahmat dan rezeki baginya apabila masih berpeluang untuk membuang undi di usia warga emas.
Dalam pada masa sama, individu berkenaan turut meluahkan kekecewaannya selepas hampir 30 tahun proses pendaftarannya gagal diterima oleh pihak SPR.
Menganggap sistem lama yang diguna pakai terlampau sukar dan lambat, Idris Abu menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
“Sistem lama memang tak boleh pakai, saya dah 65 tahun hidup ini baru kali pertama turun mengundi dan semuanya disebabkan SPR lambat buat kerja.
“Zaman dahulu semua pakai borang pendaftaran, setiap kali pilihan raya saya mesti hantar borang tapi tidak diterima dan senyap sampai ke akhirnya.
“Bila dah ada sistem digital macam sekarang, lebih mudah, efisyen dan cepat untuk proses permohonan,” dakwanya kepada Majoriti.
Turun mengundi bagi DUN Pelabuhan Klang di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya, Klang, Selangor, proses berjalan lancar dengan laluan trafik agak terkawal di kawasan berkenaan.
Proses undian pilihan raya bagi DUN Pelabuhan Klang dijalankan di SMK Pandamaran, Jaya, Klang.
Dalam pada itu, individu tersebut turut mempertikaikan jumlah-jumlah petugas yang diturunkan dalam pilihan raya kali ini dengan perkara itu disifatkan tidak memberi sebarang kemudahan buat pengundi.
“Setahu saya zaman dahulu, petugas tak seramai macam sekarang tetapi ia lebih mudah dan banyak membantu.
“Ketika kecil saya ada ikut arwah bapa mengundi dan orang ramai hanya perlu berikan IC pengenalan diri lalu dibawa ke bilik mengundi.
“Macam sekarang petugas ramai tetapi semuanya sekadar duduk dan berikan arahan, apa bezanya kalau dengan dahulu, ia lebih mudah.
“Ini semua amat merugikan dan petugas ini semua mungkin sekadar mahu kutip upah atau sebagainya, sepatutnya bertugas dengan cara betul, pengundi pun tak perlu naik ke tingkat atas,” dakwanya lagi.
Untuk rekod, kawasan DUN Pelabuhan Klang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wan Hasrina mewakili Perikatan Nasional (PN); calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Ahmad Putra dan calon Pakatan Harapan (PH), Azmizam Zaman Huri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram