SEBUAH kuil Hindu purba di Shimla, ibu negeri Himachal Pradesh, India, dilaporkan runtuh dan hancur akibat insiden tanah runtuh yang berlaku pada Isnin.
Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya sembilan individu maut manakala puluhan lagi mangsa lain dikatakan masih terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Pada masa sama, ratusan jalan ditutup dan sebahagian landasan kereta api Kalka-Shimla turut dihanyutkan air susulan hujan lebat yang melanda negeri utara India itu.
Ketua Menteri Sukhvinder Singh Sukhu berkata, hujan lebat mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan berkenaan.
Jelasnya, tujuh orang telah dihanyutkan air dalam insiden tersebut.
Dalam pada itu, BBC melaporkan, ribuan pelancong melawat Himachal Pradesh pada setiap tahun terutamanya di Shimla untuk menikmati cuaca sejuk dan panorama menarik.
Bagaimanapun, negeri itu mengalami hujan lebat semasa musim tengkujuh yang mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.
Video yang dikongsi di media sosial sejak beberapa hari lalu menunjukkan kenderaan dan bangunan dihanyutkan air sungai, pokok tumbang menimpa kenderaan dan pelancong terkandas akibat penutupan jalan.
Pada masa sama, Sukhvinder merayu kepada orang ramai supaya berlindung di dalam rumah dan tidak menghampiri kawasan sungai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram