Dera budak perempuan 6 tahun di Kempas, bekas teman lelaki ibu ditahan


  • 112
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Bekas teman lelaki ibu mangsa itu kini direman bagi membantu siasatan. — Polis Johor

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes dera ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun di Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor bahru, Johor pada Isnin.

Suspek, 29, yang juga bekas teman lelaki ibu mangsa ditahan pukul 11.05 malam oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pihaknya pukul 10.39 pagi hari yang sama.

“Suspek akan direman di mahkamah Johor Bahru pagi ini (Selasa),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Kes kedua di Johor itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didakwa didera oleh ibunya dan rakan perempuannya yang berperwatakan tomboy di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

Menurut laporan sebelum ini, tangisan budak lelaki itu yang tidak henti-henti mencemaskan jiran, yang pergi ke rumah untuk memeriksanya.

Apabila ibu dan rakannya memberi alasan mengapa mereka tidak dapat melihat budak itu, jiran-jiran memaklumkan polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram