Siapa Jasmine Loo dan bagaimana beliau menjadi penentu nasib Najib Razak


Jasmine merupakan bekas peguam syarikat 1MDB dan sekutu rapat Jho Low. — Bernama

STATUS kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) masih berjalan di Mahkamah Tinggi dengan kontroversi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan yang terbaharu beliau memfailkan permohonan agar perbicaraan penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB yang telah berjalan selama 167 hari dibatalkan.

Turut melibatkan usahawan perniagaan Jho Low yang didakwa dalang di sebalik skandal 1MDB, individu berkenaan juga masih dalam buruan polis dengan keterangan daripadanya diyakini mampu menjawab segala persoalan berhubung isu berkenaan.

Namun, selain Jho Low, terdapat seorang lagi yang dikatakan menjadi watak penting dalam kontroversi 1MDB yang melanda negara beberapa tahun ini.

Dikenali sebagai Jasmine Loo Ai Swan, beliau merupakan bekas peguam syarikat 1MDB dan sekutu rapat Jho Low.

2175413

Jasmine Loo pernah dikehendaki kerana gagal hadir atas pertuduhan berkaitan 1MDB.

Beliau dicari pihak berkuasa negara ini sejak tahun 2018 malah, waran tangkap juga pernah dikeluarkan oleh mahkamah ke atas wanita tersebut selepas gagal hadir atas pertuduhan berkaitan 1MDB.

Didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM27.8 juta (AS$6 juta) yang diterima dalam akaun Switzerland kawalannya pada 6 Disember 2012 dan 1 Julai 2014, ia dipercayai sebahagian daripada dana yang dialihkan dalam dua tawaran bon 1MDB pertama yang ditaja jamin oleh Goldman Sachs.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jasmine, Jho Low dan pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang selain bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng serta sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Pada 20 Januari 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.

Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.

Begitupun, pihak pendakwaan memohon untuk melucuthakkan dua kenderaan iaitu Audi Q5 2.0 TSFI dan Volkswagen New Beetle 1.6(A), selain RM22,600 dalam akaun Maybank Jasmine pada 20 Januari 2023.

Nasib Najib (kanan) belum diketahui susulan dakwaan skandal rasuah 1MDB yang dihadapinya masih dalam siasatan polis.

Dalam perkembangan terbaharu, Jasmine pada Julai 2023, ditahan polis bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Menerusi penahanan itu, peguamnya memaklumkan, Jasmine menyatakan kesediaan untuk bekerjasama membantu siasatan Polis Diraja Malaysia dan kerajaan dalam kes berkaitan 1MDB.

Mengulas lanjut berhubung hal itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka (pihak pendakwaan) belum menerima sebarang arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Berucap dalam perbicaraan rasuah Najib pada Julai lalu, Muhammad Shafee berpendapat bahawa Jasmine akan menjadi saksi yang sangat relevan dalam perbicaraan Najib yang didakwa menyeleweng berbilion-bilion dana kekayaan negara sebelum ini.

si

Muhammad Shafee merupakan peguam bela bagi Najib berhubung skandal 1MDB. — Bernama

Dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, Najib juga didakwa mendepositkan wang ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Status butiran dan keterangan diambil pihak polis masih belum didedahkan buat masa sekarang dengan situasi dihadapinya ketika ini masih 'tergantung tidak bertali'.

Namun, masa depan serta hukuman terhadap kesalahan beliau yang juga bekas Presiden Umno itu mungkin mampu berubah sekiranya kenyataan Jasmine membuktikan bekas Perdana Menteri itu tidak bersalah.

Terdahulu, Najib pada Isnin memfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Pada awal prosiding tersebut, peguam belanya, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, bahawa pihaknya mendapat arahan bekas Perdana Menteri itu untuk memfailkan permohonan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram