Saya sedar ada pihak desak berundur — Zahid Hamidi


  • Politik
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Zahid Hamidi memikul tanggungjawab penuh atas prestasi buruk Barisan Nasional dalam PRN Sabtu lalu. — Bernama

MEMIKUL tanggungjawab penuh atas persembahan buruk Umno dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk memperbaiki masa depan partinya.

Bagaimanapun, presiden Umno itu berkata, ia tidak bermakna beliau akan melepaskan jawatannya.

"Saya sedar ada pihak desak untuk saya berundur tetapi apa yang saya boleh berikrar ialah, saya dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

"Kami akan meneliti segala pendekatan dan strategi baharu supaya boleh memenangi hati dan minda pengundi sekali lagi," katanya.

Terdahulu, terdapat gesaan supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai presiden parti sejak penampilan buruk Umno dalam enam pilihan raya negeri Sabtu lalu apabila parti itu hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan.

BN kehilangan semua kerusi yang ditandinginya di Terengganu serta Kedah, dengan hanya menang dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor manakala satu kerusi di Kelantan.

Namun, situasi di Negeri Sembilan menunjukkan keputusan lebih baik dengan 14 kerusi berjaya dimenangi.

Ahmad Zahid berkata, beliau sedar beberapa pihak mula mendesak untuk dia meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas keputusan buruk tersebut.

"Ini bukan kali pertama Presiden Umno didesak untuk berundur.

"Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga Datuk Seri Najib Razak, apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami," katanya.

Untuk rekod, Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada 2009, setahun selepas pilihan raya umum ke-12 apabila Barisan Nasional menunjukkan prestasi buruk.

Pada 2018, Najib meletak jawatan sebagai Presiden Umno selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum.

"Walaupun saya bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya, seperti yang Datuk Seri Johari Abdul Ghani tegaskan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan Umno,” katanya.

Johari, salah seorang daripada tiga Naib Presiden Umno berkata, semua pemimpin Umno mesti memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk Barisan Nasional.

Umno adalah satu-satunya parti Barisan Nasional yang mengambil bahagian dalam enam pilihan raya negeri.

Ahmad Zahid berkata, antara isu yang perlu ditangani ialah kerjasama parti itu dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.

"Kami melakukan beberapa sesi untuk menjelaskan perkara ini di peringkat bahagian. Mungkin mesej itu tidak sampai ke akar umbi atau mungkin perlu dijelaskan lagi di peringkat berkenaan," katanya.

Tambahnya, disebabkan itu, terdapat ahli Umno yang masih keliru dengan kerjasama tersebut.

Menurutnya, situasi tersebut mungkin akan menjejaskan parti dalam pilihan raya. — The Star/MAZWIN NIK ANIS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram