[VIDEO] Dari Kapten Marvel ke Mat PDF, Baddrol Bakhtiar sekali lagi jadi bahan netizen


  • Tular
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Tangkap layar Baddrol Bakhtiar ketika memberikan ucapan dalam sebuah program bersama penduduk di Gurun, Kedah.

LEGENDA bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar sekali lagi dihentam warganet yang mempertikaikan kedudukannya sebagai calon parti Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun.

Terbaharu, ketika menyampaikan ucapan dalam sebuah program bersama penduduk di Gurun, individu itu menjelaskan beberapa perancangan PN untuk menaikkan Kedah sebagai negeri maju dalam negara.

Namun, ucapannya yang dilihat hanya tertumpu kepada teks dan bacaan disediakan, mengundang persoalan sejauh manakah bekas peledak Sabah FC itu mampu menjadi pemimpin di kawasan tersebut.

Disediakan beberapa helaian kertas dan skrip ucapan, Baddrol yang dahulunya disegani sebagai pemain profesional kini digelar 'Mat PDF' oleh segelintir warganet.

Tular di laman media, warganet meninggalkan komen negatif berhubung situasi tersebut.

"Baca skrip je, langsung tiada sifat kepimpinan untuk berucap di khalayak ramai, macam mana orang nak undi dia," kata Aliff Haikal.

"Tak yakin langsung aku nak undi PN, letak la calon yang lebih berkaliber dan meyakinkan baru rakyat boleh percaya, bukan sekadar kejar populariti semata-mata," ujar YusufAzrl.

"Baddrol dah jadi Mat PDF, kadang-kadang aku kesian tengok Badd ni, macam kena paksa bertanding je," jelas Fazz.

"Aduh PDF lagi ke, berapa muka surat tu dia kena baca, pemimpin lain mana pakai dah teks ni kalau bagi ucapan parti," tambah MieAzmi.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Zahida Zarik sebelum ini mendakwa Baddrol Bakhtiar tiada hala tuju dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos kelak.

Ia susulan satu sesi temu bual Baddrol pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Dewan Lestari, Guar Chempedak, Kedah pada Sabtu lalu yang melihatkan bekas tonggak tengah Sabah itu tidak bijak menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan.

Ketika ditanya soal manifesto yang bakal disajikan olehnya, Baddrol menepis pertanyaan itu dengan meminta orang ramai untuk mengundinya terlebih dahulu sebelum boleh memaklumkan visinya di kawasan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram