KEPUTUSAN rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bagi DUN Gurun setakat ini menyaksikan pemain bola yang menceburi bidang politik, Baddrol Bakhtiar mencipta sejarah apabila disahkan memenangi kerusi DUN Gurun selepas meraih 17,771 undi.
Kutipan tersebut menyaksikan calon berusia 35 tahun itu menewaskan pencabar wakil daripada Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari (11,187) dengan majoriti 6,584 undi.
Jika sah mendahului sehingga proses pengiraan undi berakhir, Baddrol yang mewakili PAS di bawah payung Perikatan Nasional (PN) itu berhasil merampas kerusi tersebut daripada penyandangnya Datuk Johari Abdul yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana menerima tawaran sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Kemenangan itu menjadikan keputusan bekas ketua pasukan Kedah dan Sabah FC itu untuk meninggalkan dunia bola sepak dan menceburi dunia politik adalah satu perjuangan yang tidak sia-sia.
Sementara itu, legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din juga sah menang kerusi di DUN Alor Mengkudu dengan undian sebanyak 18,936.
Pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Mahfuz Omar pula meraih undian sebanyak 8,832 undian daripada penduduk di Alor Mengkudu.
Kutipan itu menyaksikan sebanyak 10,104 majoriti undian diperoleh Radhi di kawasannya bertanding.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan Radhi berjaya melunaskan misi balas ke atas Mahfuz selepas kekalahannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 di kerusi Parlimen Pokok Sena. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram