SEORANG wanita Orang Asli yang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.
Andak Oi, 20, suku Temiar dari Kampung Guling tiba di pusat pengundian bersama abangnya pada pukul 9 pagi, sambil menggendong bayi perempuan yang berusia 30 hari.
Menurut Andak, ini merupakan pengalaman keduanya selepas kali pertama melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
"Saya tidak perlu beratur panjang kerana dapat laluan khas bersama bayi yang saya gendong.
"Saya terpaksa membawa anak sulung, Aleh Rose Nayang yang berusia 30 hari bersama kerana anak masih lagi kecil dan menyusu badan. Syukurlah proses mengundi sebentar sahaja," katanya.
Sebanyak 2,688 pemilih berdaftar dijangka mengundi di SK Kuala Betis yang merupakan satu daripada 15 pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Bagi Abok Jawing, 22, yang turut mengundi sambil mendukung anak berusia dua tahun berkata, dia bersama rakan sekampung sepakat untuk menumpang kenderaan milik seorang rakan bagi menunaikan tanggungjawab memilih pada pagi Sabtu.
"Kami tinggal di Kampung Langsat, Kuala Betis yang jaraknya hampir enam kilometer dari SK Kuala Betis. Dari semalam kami sudah berpakat untuk datang bersama-sama hari ini.
"Saya harap dengan undi yang kami berikan dapat mengubah nasib masyarakat Orang Asli di kawasan ini," katanya.
Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Merlong, Kuala Betis Ibrahim Marijah, 66, menyeru masyarakat Orang Asli untuk keluar beramai-ramai menjalankan tanggungjawab mengundi demi kesejahteraan dan kebajikan mereka.
"Setiap satu undi adalah sangat bernilai bagi menentukan pemimpin negeri dan memilih wakil rakyat yang dapat membela nasib Orang Asli. Kita mesti tunaikan demi kebaikan pemerintahan dan sebagainya.
"Jadi saya menyeru kepada lebih 3,000 pengundi supaya dapat keluar mengundi pada hari ini bagi menentukan wakil rakyat kita," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram