WALAUPUN menghidap strok, ia tidak menghalang seorang warga emas, Zuraidah Rebu, 60, untuk keluar menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
Malah, Zuraidah yang berkerusi roda antara yang terawal tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor pada pukul 9.35 pagi.
Dia yang diserang strok beberapa tahun lalu tiba di Pusat Pengundian SK Jalan Kebun dengan ditemani dua orang anaknya.
Menurut Zuraidah, walaupun dengan keadaannya yang kurang sihat, dia tetap bersemangat untuk mengundi pada Sabtu.
"Biarpun saya strok, saya tetap semangat. Seumur hidup saya tidak pernah ketinggalan untuk mengundi.
"Malah pernah suatu ketika dahulu, ketika pantang selepas melahirkan anak pun sanggup datang mengundi.
"Hari ini, saya gembira dan bersyukur kerana kedua-dua anak saya pun turut bersemangat untuk mengundi bersama hari ini," katanya kepada Majoriti pada Sabtu.
Penyandang kerusi DUN yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni sempat meluangkan masa membantu Zuraidah yang berkerusi untuk ke saluran pengundian.
Tambah Zuraidah lagi, dia bersemangat untuk mengundi kerana dia ingin melihat pemimpun yang dia sokong untuk terus berkhidmat di kawasan tersebut.
"Saya memang penduduk asal Jalan Kebun. Daripada Jalan Kebun ini tiada pembangunan sampailah dah ada perubahan.
"Pemimpin seperti ini yang kita perlu kekalkan. Saya juga berharap agar anak muda untuk turun sekali mengundi," katanya lagi.
Pada masa sama, Penyandang kerusi DUN yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni sempat meluangkan masa membantu Zuraidah yang berkerusi untuk ke saluran pengundian.
PRN Selangor di DUN N49 Sungai Kandis kali menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan PH dan BN yang diwakili oleh penyandang kerusi tersebut, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Wan Dzahanurin dari PN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram