Trafik sesak di pusat mengundi, pengawal ‘koyak’ kena maki dari pagi di DUN Bandar Baru Klang


  • Politik
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Trafik sesak di pusat mengundi DUN Bandar Baru Klang dekat Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang pada Sabtu.

PROSES undian Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang, Selangor mengundang rasa rimas dalam kalangan pengundi di kawasan tersebut.

Ia susulan kesesakan lalu lintas dan trafik yang berlaku di lokasi pusat mengundi tersebut yang terletak di tengah-tengah kawasan sibuk.

Terletak di bersebelahan jalan raya sesak, ia sekali gus menyukarkan sebilangan penduduk yang mahu menghantar ataupun mengambil pihak keluarga untuk membuang undi di sekolah berkenaan.

Kekurangan fasiliti ruang parkir dan laluan selamat untuk pejalan kaki, pengawal lalu lintas di kawasan tersebut meluahkan rasa kecewa selepas kerap kali dimarahi pemandu yang mengingkari arahannya.

Menurut Azman Rusaidi, 38, kawasan sekolah terbabit sememangnya agak sempit dan kurang strategik untuk dijadikan pusat mengundi.

“Sekolah ini memang terletak di kawasan sempit dan ruang parkir tak banyak jadi bila tiba waktu mengundi, bertambah sesak jadinya.

“Pemandu hanya dibenarkan untuk menghantar ahli keluarga ataupun kenalan di hadapan pintu pagar sekolah, nak parkir tak boleh, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) pun tak izinkan.

“Jadi bila ada yang ingkar arahan, kami pengawal yang kena maki dengan pemandu, siap ada yang ugut pukul saya pagi tadi,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-08-12 at 13.46.43

Pengawal lalu lintas bertugas memastikan trafik di Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang berjalan lancar.

Tambahnya, pihak SPR seharusnya perlu lebih peka dengan lokasi serta kedudukan pusat mengundi yang ditetapkan agar tidak mendatangkan kesukaran kepada semua pihak.

“Setidak-tidaknya, berikan kelonggaran untuk kereta parkir di depan sekolah ataupun mungkin laluan di sini ditutup seketika pada waktu kemuncak.

“Masih ada laluan alternatif lain yang boleh digunakan, jadi proses di sini tak sesak macam sekarang, kami dari pagi asyik kena maki saja... letih juga,” ujarnya.

Untuk rekod, kawasan DUN Bandar baru Klang menyaksikan pertandingan antara Dr. Quah Perng Fei mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Tan Seng Huat calon Perikatan Nasional (PN). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram