KES pengundi hantu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menjadi bahan bualan hangat seperti mana dibincangkan di media sosial.
Ini termasuk kejadian yang mana seorang pengguna Facebook, Hona Kia berkongsi sebuah video berdurasi seminit 25 saat memaparkan kekecohan di salah sebuah pusat pengundian.
Situasi berkenaan berlaku apabila beberapa individu mempersoalkan kehadiran tiga buah bas yang seperti membawa penumpang untuk proses pengundian.
Perkara itu mengakibatkan mereka mengajukan soalan bertalu-talu kepada salah seorang pemandu yang tampil untuk menjernihkan keadaan.
Sebuah video pendek memaparkan seorang pemandu bas dipersoalkan di pusat pengundian PRN.
Antara perkara yang dipersoalkan kepada pemandu bas itu adalah tindakannya meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana ia dikhuatiri hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
"Tak pernah ada, tak pernah ada bas. Ini kali pertama, rekod dalam sejarah," katanya.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan bahawa bas-bas yang dirakam itu sebenarnya membawa 7,160 pegawai dan anggota polis.
“Jadi kami telah menyewa sebanyak 34 buah bas yang mana 24 daripadanya dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini untuk menyelaras pergerakan kesemua anggota polis terlibat.
"Setelah kami lakukan semakan nombor pendaftaran, didapati bas yang terpampang dalam klip video berkenaan merupakan sebahagian daripada bas-bas yang kami sewa itu," ujarnya.
Mengulas lanjut, Fisol berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di Sungai Petani dengan kesemua pemandu bas tersebut adalah orang awam dan beliau turut membacakan sebahagian daripada nombor pendaftaran bas yang disewa dari negeri tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram