DUA nama yang disebut-sebut bakal memegang jawatan sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, dilihat tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang berlangsung pada Sabtu.
Isu calon Menteri Besar Kelantan hangat diperkatakan sepanjang tempoh berkempen pada PRN dengan kenyataan terbaru, menteri besar dan timbalannya dijangka diganti sekiranya PAS terus mentadbir Kelantan.
Ramai beranggapan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang juga calon PAS di kawasan DUN Pasir Pekan akan digugurkan tetapi sumber parti itu memaklumkan beliau sudah tidak berhasrat memegang jawatan itu lagi.
Menteri Besar sementara Kelantan kini disandang oleh Ahmad Yakob yang juga calon PAS bagi kerusi DUN Pasir Pekan, manakala timbalannya adalah Datuk Mohd Amar Abdullah yang merupakan penyandang di DUN Panchor.
Susulan itu, timbul desas-desus mengatakan dua nama yang bakal dinaikkan ke pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri itu selepas PAS mahu menampilkan gabungan tokoh agamawan dan tokoh teknokrat bagi memegang dua jawatan penting itu.
Antara nama yang disebut-sebut adalah Datuk Dr Fadzli Hassan dan Datuk Nassuruddin Daud yang masing-masing bertanding di DUN Temangan dan DUN Meranti.
Fadzli dilihat tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya apabila selesa mendahului dengan majoriti lebih 1,000 undi.
Pada PRN kali ini, Fadzli berdepan saingan tiga penjuru apabila bertembung dengan calon Bebas, Fauzi Seman dan Abdul Kadir Othman (PH-BN).
Pada PRU14, beliau menang dengan majoriti 1,897 untuk menewaskan dua pencabarnya, Cikgu Adnan (BN) dan Redzuan Alias (PKR).
Sementara itu, Nassuruddin juga dilihat bakal menepati ramalan untuk mengekalkan peranannya di DUN Meranti apabila mencatatkan majoriti lebih juga lebih 1,000 undi.
PRN kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Nassuruddin dengan calon BN, Zahri Omar di DUN sama yang mempunyai jumlah pengundi sebanyak 26,012.
Seramai 29,980 pengundi berdaftar layak untuk mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka bagi DUN Meranti.
Sebagai rekod, Nassuruddin menang pada PRU14 dengan majoriti 6,100 berdasarkan jumlah pengundi yang keluar sebanyak 21,499.
Ketika itu, beliau berdepan saingan empat penjuru dari Anuar Husin (BN-Berjasa), Mohd Romizu Mohd Ali (PKR) dan Che Daud Che Man (Bebas). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram