Gelombang hijau bantu PN Terengganu sapu bersih 32 kerusi DUN


  • Politik
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Ahmad Samsuri (kanan) bersama pesaingnya Suhaimi Sulaiman pada hari penamaan calon sempena PRN Terengganu di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Marang. — Bernama

PERIKATAN Nasional (PN) mengekalkan status quo di Terengganu apabila menang semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kiraan tidak rasmi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Daripada jumlah kemenangan kerusi itu, PAS memperoleh 24 kerusi daripada keseluruhan 32 kerusi yang dipertanding.

Gabungan PN yang antara lain diwakili PAS mengulangi pencapaian cemerlang pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) apabila menang di kerusi panas antaranya DUN Ru Rendang, DUN Kijal dan DUN Seberang Takir yang menyaksikan pertandingan antara menteri besar dan dua bekas menteri besarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS menang selesa di DUN Ru Rendang menewaskan Suhaimi Sulaiman (PKR) yang memperoleh 20,927 undi manakala lawannya, 3,641 undi.

Di DUN Kijal, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas menteri besar negeri itu pula gagal membuat come back apabila tidak berjaya menewaskan Ketua Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris.

Sementara itu, di DUN Seberang Takir yang ditandingi seorang lagi bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyaksikan beliau tewas kepada Khazan Che Mat (PAS-Bersatu).

Beberapa kubu kuat BN juga mampu ditembusi PN melalui gelombang hijau dan sokongan golongan muda.

Selain itu sokongan perantau yang pulang juga menyumbang kepada kemenangan besar PN di Terengganu.

PRN kali ini, membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN manakala BN memperoleh 10 kerusi.

Untuk rekod, bagi PRN kali ini, PN merealisasikan impian menawan semua DUN Terengganu dan tambahan satu kerusi Parlimen menerusi PRK Kuala Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram