HASRAT dua bekas menteri, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Rina Harun untuk memulihkan 'maruah' dalam karier politik menjadi perhatian umum apabila kedua-dua calon Perikatan Nasional itu menerima nasib yang berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Sabtu.
Azmin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang manakala Rina bertanding di DUN Batu Tiga.
Berdasarkan keputusan rasmi, Azmin menang dengan majoriti 1,617 undi untuk menumbangkan lawannya dari Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli dengan undian 25,597 berbanding pencabarnya yang meraih 23,980 undi.
DUN Hulu Kelang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PN dan PH itu dengan jumlah pengundi sebanyak 71,702.
Kerusi Hulu Kelang sebelum ini disandang oleh Shaari Shungib (PKR) yang menang dengan majoriti besar 15,349 menewaskan dua lawannya, Ismail Ahmad (BN) dan Farhan@Kamalulhysham (PAS).
Manakala Rina pula kini ketinggalan kira-kira lebih 3,300 undi berbanding pendahulu, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid (PH) yang memperoleh 15,949 undi setakat 10.56 malam.
Pertembungan di DUN Batu Tiga melibatkan persaingan tiga penjuru antara Rina, Syaidiya Izaati Nur Razak Maideendan (MUDA) dan Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid (PH). Seramai 75,486 jumlah daftar pemilih direkodkan di DUN tersebut.
Calon Muda pula setakat ini mendapat 911 undi.
Kerusi Batu Tiga sebelum ini disandang oleh Rodziah Ismail (PKR-PH) yang menang dengan majoriti besar 15,616 menewaskan dua lawannya, Ahmad Mua'adzam Shah Ya'akop (BN) dan Abdul Halim Omar (PAS).
Kekalahan itu merupakan tamparan hebat buat kedua-dua pemimpin tertinggi Perikatan Nasional itu yang sebelum ini tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan ini juga memberi petanda sama ada karier Azmin dan Rina seperti sudah berakhir dan sudah boleh berkira-kira untuk bertapak di negeri lain memandangkan peluang mereka di Selangor seolah-olah sudah tertutup.
Untuk rekod, Azmin menang di Parlimen Gombak pada PRU ke-14 dengan majoriti 48,721 undi di bawah tiket PKR (PH), sekali gus membuka peluang untuk dirinya menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Ekonomi di bawah Kerajaan PH ketika itu.
Bagaimanapun, Azmin - yang berpaling tadah daripada PKR pada 2020 - tewas di kerusi Gombak pada PRU15 kepada anak didiknya, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga merupakan Menteri Besar Selangor.
Rina pula tewas dalam saingan lapan penjuru di Parlimen Sepang dengan calon PH, Aiman Athirah yang memperoleh 56,264 undi dengan majoriti 8,949 undi pada PRU15.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hanya berjaya meraih 47,315 undi berbanding pesaingnya daripada PH, 56,264 undi.
Untuk rekod, Rina merupakan bekas ahli Parlimen Titiwangsa yang menyandang jawatan sebagai Menteri Wanita dan Keluarga pada 10 Mac 2020.
Menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Rina menang memperoleh 23,840 undi ketika menentang Johari Abdul Ghani (BN) yang mendapat 19,701 undi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram