[VIDEO] Harapan 3 beradik jelita buat bakal YB Kota Kemuning


  • Massa
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

(Dari Kiri) Umairah, Sumayyah, dan Misarah berharap agar pemimpin yang dipilih ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bertugas demi rakyat dan memperbaiki sistem pengangkutan yang sedia ada.

TIGA beradik yang turun membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Heights, Putra Heights, Selangor pada Sabtu berharap agar calon yang dipilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning dapat menjalankan tugas dengan baik dan memperbaiki sistem kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada.

Salah seorang daripada mereka, Maisarah, 25, berkata, penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam perlu dilakukan demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, jika melihat kepada kemudahan pengangkutan awam di negara kita masih banyak yang perlu diperbaiki.

"Contohnya di Putra Heights, kita memang ada kemudahan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang memudahkan pergerakan penduduk untuk menuju ke bandar utama tetapi pengangkutan bas itu kurang.

"Penduduk setempat terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut dan ada masanya agak menyusahkan.

"Kita lihat sahaja hari ini, stesen bas ada tetapi tak nampak pun bas yang lalu," katanya ketika ditemui Majoriti.

Sementara itu, bagi Sumayyah, 23, dia berkata, perkhidmatan bas yang tidak efisien pada ketika ini sebenarnya agak membimbangkan.

Dia yang merupakan pelajar akauntan di sebuah universiti di London, United Kingdom berpendapat sistem pengangkutan yang sedia ada perlu ditambah baik.

"Jika kita melihat pengangkutan awam yang sedia ada sekarang banyak yang perlu ditambah baik. Di London selang lima minit kita akan nampak bas dan sangat mudah menggunakan perkhidmatan di sana," katanya.

Tambahnya, dia juga berharap agar wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menyediakan laluan pejalan kaki di kawasan tersebut bagi memudahkan orang awam.

PRN Selangor di DUN Kota Kemuning kali menyaksikan pertembungan calon Pakatan Harapan (PH), Preakas Sampunathan dan penyandang, Ganabatirau Veraman.

PRN ini membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram