[VIDEO] PRN: PM seru anak muda turun mengundi, pilih calon jamin masa depan stabil


  • Politik
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Anwar menyeru rakyat mengambil tanggungjawab mengundi sebagai satu perkara yang serius bagi menjamin kemajuan negara serta keamanan dan perpaduan rakyat secara keseluruhannya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat di enam negeri untuk menunaikan tanggungjawab bagi memilih calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang benar-benar layak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Beliau berkata, pengundi terutamanya anak muda yang baru pertama kali diberikan hak untuk memilih perlu membuat keputusan bijak demi masa depan banyak pihak.

"Esok pada 12 Ogos, Insya-ALLAH rakan-rakan dari enam negeri kawasan Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab untuk memastikan (mereka) memilih wakil atau calon yang didukung untuk dapat menerajui kerajaan negeri dan juga sebagai anggota Parlimen di Kuala Terengganu.

"Kepada pengundi termasuk anak muda yang baru mendapat peluang dan diberikan hak untuk memilih, saya percaya (kalian) dapat memilih dengan bijak, menjaga keamanan dan kestabilan negara.

"(Pilihlah) parti dan kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi, memberi jaminan pekerjaan kepada mereka dan yang lebih utama memberi keselesaan hidup kepada diri dan keluarga mereka dan juga negara Malaysia tercinta," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Beliau turut berharap agar rakyat mengambil tanggungjawab mengundi sebagai satu perkara yang serius bagi menjamin kemajuan negara serta keamanan dan perpaduan rakyat secara keseluruhannya.

"Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum di keenam-enam negeri untuk tunaikan kewajipan sebagai rakyat dan pilih #Perpaduan demi masa depan yang stabil, ekonomi yang terangkum serta jelas pengarahannya dan memastikan isu tahap gaji rakyat tidak dipandang remeh dan dipertingkatkan.

"Keluar awal dan pastikan kita pilih PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional)!" ujarnya.

PRN dijadualkan berlangsung secara serentak di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Sabtu.

Sementara itu, Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu juga turut diadakan pada hari yang sama susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu sebelum ini membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram