Perebutan kuasa PRN Selangor, kedudukan Azmin Ali, Amirudin Shari mampu dicabar sekiranya 3 isu segera diselesaikan


  • Politik
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Barisan calon yang bakal bertanding merebut kerusi DUN di Parlimen Gombak pada PRN kali ini. — Awani

PARLIMEN Gombak menyaksikan pertaruhan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Berdasarkan pengumuman calon dibuat, DUN Sungai Tua akan ditandingi Menteri Besar sementara Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang bertanding di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) manakala di DUN Gombak Setia pula akan ditandingi oleh Megat Zulkarnain Omardin daripada BN.

Bagi DUN Hulu Kelang pula, gabungan PH/BN telah mengumumkan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwariya Zulkifli sebagai calonnya dan dijangka menerima tentangan sengit daripada Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Parlimen Gombak yang mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 49,055 di kerusi Sungai Tua; 88,480 (Gombak Setia); dan 71,702 pemilih di Hulu Kelang, sebelum ini menjadi tapak permulaan bagi dua Menteri Besar Selangor iaitu Amirudin Shari dan Mohamed Azmin Ali.

Untuk rekod, Amirudin yang merupakan penyandang kerusi Sungai Tua sejak 2018, dilantik sebagai Menteri Besar dan merampas kerusi Parlimen Gombak daripada Mohamed Azmin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

s

Amirudin Shari dilantik sebagai Menteri Besar Selangor susulan kemenangan pada PRU-15 lalu.

Meraih perhatian sebilangan penduduk di Parlimen Gombak dalam PRN kali ini, kedua-dua individu itu dijangka akan meraih undian sengit dengan kredibiliti serta pengaruh dimiliki dikatakan antara yang bakal memenangi kerusi DUN di Parlimen Gombak.

Namun, beberapa isu berbangkit perlu menjadi keutamaan calon di kawasan tersebut sekiranya ingin meraih undian serta sokongan pada PRN kelak.

Berlarutan sejak sekian lama, tiga masalah utama di Gombak ini masih tiada jalan penyelesaian sejak bertahun dengan pilihan raya kali ini bakal menentukan siapakah calon terbaik diyakini mampu memberikan jawapan kepada isu tersebut.

1. Gangguan bekalan air

Isu paip pecah dan gangguan bekalan air kerap menjadi beban buat masyarakat di Gombak dengan perakara itu boleh dianggap sebagai isu 'bermusim' yang tiada kesudahannya.

Di kawasan Gombak sekitar Selayang dan Taman Sri Gombak, telah berlaku sekurang-kurangnya dua gangguan bekalan air mengejut akibat paip bawah tanah yang dilaporkan pecah selama empat hari antara 17 hingga 20 Julai 2023.

Kedua-dua gangguan tersebut berlanjutan lebih daripada lapan jam dan menyebabkan ketidakselesaan berlarutan bagi semua penduduk yang terkesan.

Untuk rekod, pada Januari lalu, sebanyak 15 kawasan sekitar Gombak dilaporkan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Jalan Prima SG 2, Prima Sri Gombak, Selangor.

Ia sekali sekali gus membuktikan betapa kawasan Gombak amat memerlukan solusi dan jawapan segera kepada segala kemelut air yang melanda di situ.

2. Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) tergendala

Harapan penghuni untuk menduduki Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak dibeli empat tahun lalu masih belum menjadi kenyataan.

Hingga kini, pembeli difahamkan masih belum menerima kunci rumah idaman walaupun sepatutnya dijadual untuk mendapatnya pada 3 Mei tahun lalu.

esisns

Beberapa penghuni projek perumahan Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) melakukan demonstrasi bantahan terhadap pemaju rumah. — Buletin Utama

Laporan media pada April lalu mengatakan bahawa pembeli projek perumahan tersebut memberikan masa tambahan dan tarikh penyerahan kunci diubah kepada 19 Mac lalu tetapi hingga ke hari ini, projek berkenaan masih lagi belum siap.

Meskipun sejumlah pampasan diberikan kepada pembeli, namun ia masih mengundang resah sebilangan pihak yang kian tertekan untuk menampung perbelanjaan susulan terpaksa menanggung lebih RM2,500 sebulan untuk membayar rumah berkenaan.

3. Pangsapuri Putri Laksamana, Batu Caves

Penghuni Pangsapuri Putri Laksamana di Batu Caves, Gombak meluahkan keluhannya susulan fasiliti serta keadaan di kediaman tersebut didakwa tidak berjaga dan mengalami kerosakan teruk.

Perkara itu dibangkitkan dalam satu Program Majlis Makan Malam Perpaduan di DUN Sungai Tua yang dihadiri Amirudin Shari pada Sabtu lalu yang menyaksikan seorang individu bertanyakan beberapa soalan kepada Menteri Besar Selangor tersebut.

Mendakwa railing tangga sudah usang dan berkarat, pemuda itu juga berkata, longkang di sekitar pangsapuri berkenaan tidak ditutup dengan betul dan mengundang bahaya kepada penduduk khususnya warga emas.

ns,

Antara kerosakan dialami di Pangsapuri Putri Laksamana di Batu Caves, Gombak, Selangor. — Facebook

Mempertikaikan tanggungjawab Amirudin selaku Ahli Parlimen Gombak, individu terbabit juga mempersoalkan mengapa beliau tidak turun ke kawasan tersebut selepas hampir 10 tahun isu itu berlanjutan.

Namun, Amirudin meminta perkara itu diusulkan kepada Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan berkaitan perkara tersebut.

Justeru, tiga isu di atas merupakan antara masalah berbangkit yang perlu menjadi keutamaan buat calon di Parlimen Gombak.

Dengan pengaruh Azmin Ali yang dilihat mampu meraih undian tertinggi kelak, beberapa calon di tiga DUN berasingan berkenaan juga mempunyai peluang untuk menguasai sokongan rakyat yang sekali gus mendominasi kawasan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram