Peniaga, pasar raya perlu tukar ke alat penimbang elektronik dalam tempoh setahun


  • Primer
  • Ahad, 21 Mei 2023

Salahuddin (dua dari kiri) membuat lawatan di pameran peralatan penimbang pada Majlis Sambutan Hari Metrologi 2023 pada Ahad.

KERAJAAN akan memansuhkan penggunaan alat timbang neraca untuk menyukat barangan jualan khususnya bahan mentah sepenuhnya dalam tempoh setahun dari sekarang dan akan digantikan dengan alat penimbang elektronik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak penguat kuasa berhubung keputusan kerajaan berkenaan.

"Pada masa ini, hanya 25 peratus alat timbang elektronik digunakan di seluruh negara, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut merancang untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mengatasi isu berkaitan timbang dan sukat ini,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Metrologi Sedunia di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Ahad.

Salahuddin berkata, dalam proses melaksanakan penggunaan penimbang baharu itu, kerajaan akan turut memberi perhatian terhadap isu berkaitan kecukupan bekalan dan harga alat tersebut bagi memberi masa kepada peniaga mendapatkan alat timbang itu.

Ujarnya, KPDN telah meneliti dan melantik beberapa syarikat untuk membekalkan alat penimbang elektronik berkenaan.

Sempena Hari Metrologi, penganjur sambutan tersebut De Metrology Sdn Bhd menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Most Measuring Instruments kerana mencatat 3,197 jumlah verifikasi alat timbang dan sukat iaitu paling banyak dalam tempoh sehari pada 16 Mei lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram