'Pastikan subsidi bersasar tidak zalim', Hassan perjelas isu minyak masak, gula fokus JKPK kos sara hidup


  • Primer
  • Khamis, 25 Mei 2023

Menurut Hassan, perhatian akan diberikan terhadap isu membabitkan bekalan dan kestabilan harga minyak masak dan gula.

JAWATANKUASA Pilihan Khas (JKPK) Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian akan memberi tumpuan awal terhadap isu minyak masak dan gula.

Ahlinya, Hassan Abdul Karim yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, ia antara lain membabitkan isu bekalan dan harga bagi kedua-dua barangan asas berkenaan.

Jelasnya, JKPK akan memanggil pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 7 Jun depan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

"Pertama kita nak pastikan bekalan minyak masak itu terjamin dan harga ikut kawalan. (Ini kerana) wujud putus bekalan di beberapa tempat, (jadi) kita nak tahu kedudukannya yang sebenar dan tak mahu berulang-ulang.

"Kita nak pergi pada punca masalah dan akan kaji samada wujud monopoli ke, isu permit makanan (AP) ke, kita akan lihat.

"Semua itu kita akan dengar taklimat dan dapatkan cara penyelesaian. Kalau perlu panggil menteri kita akan panggil," katanya kepada Majoriti.

yb

Ahli JKPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, Hassan Abdul Karim.

Hassan menjelaskan, kesemua ahli JKPK melihat jawatankuasa itu bukannya berperanan untuk memantau dan menyemak tetapi sebaliknya sebagai rakan strategik yang melengkapi kementerian terbabit.

Sejak ditubuhkan, beliau memaklumkan JKPK yang dipengerusikan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Hin sudah bermesyuarat sebanyak dua kali iaitu pada 22 Mei lalu dan pada Rabu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan pelaksanaan subsidi bersasar bagi beberapa perbelanjaan utama melibatkan rakyat, beliau berkata, perkara itu turut dibangkitkan ketika mesyuarat.

Menurut Hassan, beliau berpandangan bahawa kerajaan perlu terlebih dahulu memiliki pengkelasan jelas berhubung kategori pendapatan rakyat sebelum melaksanakan subsidi termasuk kepada kemudahan seperti tarif elektrik.

Jelasnya, langkah menjalankan dasar itu tidak seharusnya bersandarkan semata-mata kepada kelas pendapatan rakyat seperti diguna pakai sekarang.

"Saya setuju pendekatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengatakan tidak boleh mudah-mudah kategorikan B40 dan M40, tapi mesti pergi kepada pendapatan boleh guna (isi rumah).

"Kalau betul-betul kita tengok, orang M40 itu dah jatuh (pendapatan mereka) lepas bayar hutang, komitmen dan lain-lain, tinggal berapa sahaja.

"Yang T20 pun sama, walau gaji lebih RM10,000, tapi mungkin kalau dianalisa betul dia bukan T20, tapi mungkin M40 dah. Jadi bersasar itu kita tidak mahu sampai menzalimi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram