Susu formula adalah keperluan asas, wajar diletakkan di bawah barangan kawalan berharga


  • Massa
  • Isnin, 19 Jun 2023

Orang awam mendesak kerajaan mempertimbangkan semula untuk meletakkan susu formula bayi dan kanak-kanak, di bawah senarai barangan harga kawalan.

MASALAH kenaikan harga susu formula di negara ini bukanlah isu baharu yang melanda negara ini dan dengan keadaan ekonomi yang semakin mendesak ketika ini, ramai orang awam terutamanya yang sudah bekerluarga merungut tidak dapat menyediakan susu yang terbaik buat anak mereka.

Baru-baru ini, media melaporkan harga susu formula bayi dan kanak-kanak didakwa meningkat antara RM10 hingga RM30 sekali gus mencetuskan kegelisahan terutama dalam kalangan ibu bapa.

Bertindak untuk menangani isu tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan libat urus bersama syarikat pengeluar susu formula bagi membincangkan berkenaan 'harga rahmah'.

KPDN juga mengambil maklum mengenai kenaikan harga susu formula di pasaran ketika ini malah tindakan segera akan dilakukan bagi mencari solusi meringankan beban rakyat.

Namun begitu, melalui tinjauan di media sosial, rata-rata warga maya mendesak kerajaan mempertimbangkan semula untuk meletakkan susu formula bayi dan kanak-kanak di bawah senarai barangan harga kawalan.

Menurut Izwan Razali, kerajaan sepatutnya lebih prihatin berkenaan isu tersebut dan sudah mula bertindak.

"Bagi golongan yang belum berkahwin, pastinya jarang mengambil tahu mengenai harga barang keperluan bayi termasuk susu formula tetapi untuk kami yang sudah berkeluarga ia merupakan beban.

"Saya ada tiga orang anak yang masih kecil, seminggu terpaksa membelanjakan lebih RM300. Ini baru susu formula, bayangkan perbelanjaan lain.

"Tolong wujudkan satu sistem yang meletakkan susu formula bayi dan kanak-kanak, di bawah senarai barangan harga kawalan," katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial, Mek Siti turut meluahkan perasaan sama.

"Isu ini sudah lama, dari zaman Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi Menteri Kesihatan lagi tapi tidak pernah selesai.

"Harga susu semakin naik dan itu akan menjadi salah satu faktor ramai orang bujang tak nak kahwin sebab bimbang tak mampu menyediakan keperluan asas buat keluarga mereka.

"Kerajaan sepatutnya mewujudkan harga siling untuk susu formula ini. Set harga supaya tidak boleh lebih daripada harga yang ditetapkan," tulisnya.

Bagi Siti Roziah, setiap kali membeli keperluan harian untuk anak-anaknya, dia akan membuat tinjauan terlebih dahulu.

"Setiap kali mahu membeli susu formula, saya terpaksa membuat tinjauan harga dulu. Kenaikan harga susu membuatkan saya amat terbeban ketika ini.

"Mungkin saya mampu tetapi bayangkan keluarga yang susah. Tak akan nak minum susu murah, nanti anak sakit. Kalau tidak mampu bagi subsidi, wujudkan harga tetap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram