APABILA Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk golongan miskin tegar pada 27 Januari lalu, ramai yang menyambut baik program tersebut kerana dikatakan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutama dari segi pemakanan harian.
Ini kerana, inisiatif tersebut membolehkan rakyat terutama di kawasan bandar menikmati hidangan pada harga murah di bawah RM5, sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian.
Namun, selepas beberapa bulan inisiatif tersebut dilaksanakan ia dilihat semakin kurang mendapat sambutan ekoran daripada permintaan yang rendah.
Tinjauan Majoriti di sekitar Subang Jaya juga mendapati, ada segelintir peniaga sudah tidak lagi menyediakan menu terbabit.
Menu Rahmah dilihat semakin kurang mendapat sambutan ekoran daripada permintaan yang rendah. — Gambar Hiasan
BACA LAGI : Jangka hayat Program Menu Rahmah mungkin tidak lama, pakar saran selesai isu teras
Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Datuk J Suresh berkata, kebanyakan peniaga tidak dapat meneruskan inisiatif berkenaan ekoran daripada harga yang meningkat.
"Sebulan dua memang dapat sambutan tapi lama kelamaan permintaan itu semakin dingin dan harga barang pula meningkat.
"Seperti kami sendiri, kami ingatkan harga barangan mentah ini akan diberikan subsidi tetapi sebaliknya yang terjadi.
"Harga ayam, minyak masak dan barangan lain naik. Jika dikira semula semua kosnya, tak berbaloi. Peniaga yang rugi sekali gus menyebabkan mereka tidak meneruskan Menu Rahmah berkenaan," katanya kepada Majoriti pada Isnin.
BACA LAGI : Pengusaha restoran alami kerugian, henti jualan Menu Rahmah
Pembeli muak dengan lauk dan makanan sama yang ditawarkan setiap hari. — Gambar Hiasan
Bagi seorang pekerja swasta, Roziana berkata dia memilih untuk membeli kesediaan makanan siap masak di kedai serbaneka.
"Semasa Menu Rahmah dilancar dulu, jujur saya akui saya teruja kerana dapat nak jimatkan kos harian tetapi apabila menu yang sama dijual setiap hari, saya jadi muak.
"Lauk yang mereka masak sama setiap hari dan makanan yang ditawarkan pula jenis makanan yang sudah dibungkus awal pagi, rasa dia tak sedap kalau dah lama.
"Baik saya beli sahaja makanan siap masak di kedai serbaneka yang lebih banyak pilihan dan harga sama," tambahnya lagi.
Sementara itu, ibu kepada empat orang anak, Amani Nasuha Ashraf berpendapat inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan itu tidak sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga sekali gus menyebabkan ia kurang mendapat permintaan.
"Bagi mereka yang masih bujang mungkin sesuai tetapi tidak untuk yang sudah berkeluarga.
Menu Rahmah yang dilancarkan itu tidak sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga. — Gambar Hiasan
"Bukan semua orang mampu dan kalau kira-kira balik sebenarnya mahal bagi keluarga B40 tetapi itu hanya pendapat saya sahaja. Mungkin ada yang lebih memerlukan.
"Ia usaha yang baik tetapi sejauh mana inisiatif ini mampu memberi manfaat? Kalau tanya saya dengan keadaan ekonomi sekarang baik turunkan harga barang," luahnya.
Menurut Amani, dia turut menyedari kebanyakan kedai makan berhampiran kawasan rumahnya sudah tidak menyediakan menu tersebut.
"Saya juga perasan, selepas beberapa bulan dilancarkan banyak kedai yang tidak menawarkan menu tersebut lagi.
"Saya harap agar kerajaan boleh melakukan sesuatu berkenaan isu tersebut. Kita buat 'win win situation' yang memberi manfaat pada pembeli dan peniaga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,