Bina sekali kios khas di stesen minyak tanpa subsidi elak RON95 'dirompak' kereta asing


Kerajaan sedang dalam perancangan untuk membina stesen minyak tanpa subsidi di Johor. — Gambar hiasan

SUSULAN langkah kerajaan yang dikatakan sedang mengkaji lokasi sesuai bagi membangunkan stesen minyak tanpa subsidi di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini, perkara tersebut mendapat pelbagai respons masyarakat yang melihat ia sebagai isu yang boleh mengundang masalah kepada negara.

Ia bertitik tolak daripada sikap segelintir penduduk di negara jiran, Singapura yang sebelum ini kerap ditahan mengisi minyak petrol jenis RON95 di Johor.

Meskipun perkara itu secara dasarnya bertujuan mahu meminimumkan aktiviti pembelian minyak bersubsidi oleh kenderaan asing, namun ia masih mendapat tentangan daripada masyarakat khususnya di Johor yang sudah lali dengan kes 'curi minyak' dari warganegara Kota Singa.

Justeru, beberapa langkah disarankan oleh rakyat di negara ini dengan rata-ratanya mahu kerajaan mewujudkan kios khas untuk kenderaan pelancong.

Tidak dinafikan bahawa peraturan dan undang-undang di Malaysia sememangnya melarang kereta dari negara luar untuk mengisi minyak petrol RON95 di negara ini namun, ketetapan itu masih gagal dituruti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Setiap stesen minyak perlu sediakan kios khas untuk warga asing dan pihak-pihak yang tidak dibenarkan membeli petrol subsidi, baru kita pun boleh dapat kesan siapa yang langgar peraturan itu," kata HS Tan.

"Rancang nak bina stesen minyak tak ada subsidi, sudahnya orang Singapura yang datang isi seludup minyak murah negara kita, elok asingkan stesen mereka dengan kita supaya ada perbezaan," jelas Rahim Kijang.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan Johor Bahru, dikenali sebagai Buana Putra di Facebook menyuarakan pendapatnya agar pihak kerajaan meletakkan notis papan tanda berkenaan larangan isian RON95 bagi kereta asing.

Jelasnya, perkara itu masih belum dilakukan oleh pihak berkuasa yang selama ini hanya berdiam diri meskipun isu tersebut kerap berlaku.

"Pendapat saya, sepatutnya setiap stesen minyak di mana-mana bandar sempadan dilengkapi dengan papan tanda notis pemberitahuan tentang undang-undang larangan 'minyak kuning' buat warga asing.

"Pemerhatian saya di Johor Bahru masih belum ada setakat ini," jelasnya.

Kurang bersetuju dengan langkah pembaharuan sedang diusahakan kerajaan ketika ini, pandangan masyarakat dilihat lebih tertumpu kepada keistimewaan rakyat yang kian dirampas dan dimonopoli rakyat dari negara jiran khususnya yang berlaku di Johor.

Sementara itu, pada 18 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas projek rintis dilaksanakan di Perlis.

Ahmad Zahid berkata, KPDN sedang peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi terutamanya di Kelantan dan akan disusuli dengan Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram