PILIHAN Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos nanti semakin menghampiri detiknya dengan setiap parti politik kini sedang giat menjalankan ceramah serta manifesto untuk meraih undian penduduk.
PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.
Selangor yang memiliki 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang (40), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32), dibubarkan bulan lalu kecuali Negeri Sembilan yang mempunyai 36 DUN pada 1 Julai selepas mendapat perkenan Sultan, Yang Dipertua Negeri dan Yang Dipertuan Besar di negeri masing-masing.
Kerusi DUN Selat Klang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Roslee Abd Hamid, penyandang kerusi itu, Datuk Abdul Rashid mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Mohamad Ezam Nor.
Dengan ketiga-tiga calon berkenaan dikatakan memiliki potensi serta sokongan yang hampir sama, penduduk di Selat Klang pula tampil dengan beberapa isu yang dirasakan perlu diatasi oleh calon-calon tersebut sekiranya ingin memenangi hati rakyat.
Berdasarkan komen serta luahan warganet di laman Facebook, berikut merupakan empat masalah berbangkit yang perlu segera diberikan perhatian oleh calon bertanding.
1. Projek ECRL di tanah perkuburan Selat Klang
Penduduk di Selat Klang berkemungkinan akan dipindahkan ke satu lokasi lain susulan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan tersebut.
Kampung Delek dan Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang antara yang terkesan dengan kemudahan pengangkutan awam itu menjelang proses pembinaannya yang dijangka dimulakan pada 2025 nanti.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 89 buah keluarga akan terkesan dengan perkara itu dengan kerajaan Selangor sebelum ini dikatakan akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah berkenaan sebaiknya.
Khidmat ECRL akan menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang. — Facebook ECRL
Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang penyelesaian berhubung hal tersebut.
Paling merisaukan, beberapa buah kubur di tanah perkuburan Selat Klang juga dikhabarkan akan beralih dan dipindahkan ke sebuah lokasi berasingan akibat projek mega tersebut.
Ia sekali gus mengundang kemarahan waris si mati dan penduduk di kawasan terbabit yang menggesa agar kerajaan Selangor tampil dengan jalan penyelesaian.
2. Laluan sempit dan sesak
Laluan kampung yang dahulunya sunyi dan terpencil, kini semakin sesak dengan lambakan kenderaan khususnya motosikal yang sering terpalit dengan kemalangan di kawasan berhampiran Kampung Delek, Klang, Selangor.
Penambahan bilangan dari segi penduduk dan kenderaan dilihat tidak seiring dengan kemajuan serta fasiliti jalan raya di lokasi berkenaan.
Perkara itu diluahkan oleh salah seorang individu di laman Facebook, Fairul Mahmood yang nyata kecewa dengan situasi melanda perkampungannya.
"Kenderaan semakin bertambah dan bilangan penduduk juga kian padat, tetapi laluan sempi tidak ditambah baik, akibatkan kes kemalangan sering berlaku di Kampung Delek.
"Sepatutnya kerajaan perlu perbaiki jalan berlubang atau lebih baik besarkan laluan sempit baru pergerakan keluar masuk lebih terjamin.
"Kalau di tempat lain boleh buat jambatan kenapa tidak di sini, kes kemalangan setiap hari berlaku sampai bila nak dibiarkan," katanya.
3. Kawasan banjir
Masalah banjir yang kerap kali berlaku di Kampung Delek, Klang merupakan antara isu utama dibangkitkan pengundi dalam kawasan DUN Selat Klang dan perlu diberikan perhatian calon yang bertanding.
Penduduk yang berada di kawasan berhampiran sungai merupakan antara pihak yang terkesan dengan situasi itu susulan sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.
Difahamkan, setiap kali banjir melanda, hampir separuh penduduk di situ akan dipindahkan ke pusat penempatan sementara terutamanya warga emas.
Sistem perparitan yang kurang efisien serta longkang yang mudah tersumbat menjadi salah satu punca utama kawasan berkenaan mudah dinaiki air ketika hujan.
4. Kemudahan e-hailing
Golongan belia khususnya yang bekerja sebagai penunggang e-hailing turut tidak ketinggalan daripada menyatakan masalah dihadapi.
Ia susulan kemudahan perkhidmatan itu dikatakan tidak dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan pendalaman Selat Klang ekoran ketiadaan alamat serta akses lokasi di carian 'Google Maps'.
Perkhidmatan e-hailing dikatakan tidak dapat dinikmati penduduk di kawasan Selat Klang, Selangor. — Agensi
Ia secara tidak langsung membataskan kemudahan penduduk di kawasan berkenaan selain turut menjejaskan punca pendapatan golongan yang bekerja di sektor tersebut.
Justeru, bagi meraih undian rakyat, ketiga-tiga calon di DUN Selat Klang diharapkan dapat membantu menyelesaikan isu berbangkit dengan persediaan haruslah dilakukan bermula dari peringkat awal.
Untuk rekod, sebanyak lima Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan DUN telah diadakan selepas PRU14 dengan empat daripadanya di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.
Di Selangor, ia membabitkan DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Semenyih berikutan penyandang kerusi daripada PH meninggal dunia. Tiga daripada kerusi tersebut berjaya dipertahankan PH, manakala kerusi Semenyih berjaya dirampas BN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram