[VIDEO] Tiga 'freestyler' Malaysia termasuk Zeem Ahmad 'belanja' skil di Republik Czech


  • Massa
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan salah seorang peserta dari Malaysia mempamerkan aksi memukau ketika pusingan kelayakan World Freestyle Football Championship di Republik Czech baru-baru ini.

TIGA pemuda berbakat besar bakal mewakili Malaysia dalam World Freestyle Football Championship di Republik Czech.

Pencapaian membanggakan itu dikongsikan salah seorang peserta, Muhammad Hazim Ahmad Fadlullah Suhaimi atau Zeem Ahmad menerusi ciapan di laman Twitter Selasa.

"Kami tiga football freestyler mewakili Malaysia di World Freestyle Football Championship di Prague, Czech Republic," katanya.

Selain Zeem, dua lagi peserta Malaysia yang layak bertanding termasuklah Muhammad Anas Hakimi Nur Hashim dan Zulhilmi Zuaswa.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi video suasana sekitar pusingan kelayakan kejohanan itu di media sosial miliknya.

Menerusi rakaman tersebut, selain menimbang bola dengan kaki, ketiga-tiga peserta itu dilihat mempamerkan aksi terbaik mereka termasuk kemahiran mengawal bola menggunakan anggota badan lain seperti muka, dagu, pipi dan tapak kaki.

Setiap pergerakan mereka diiringi dengan sorakan penonton yang pastinya terpukau dengan aksi freestyle football yang dipertontonkan di atas pentas itu.

Untuk makluman, Zeem Ahmad bukanlah nama asing dalam kalangan peminat sukan bola sepak gaya bebas tempatan.

Figura berusia 28 tahun yang juga merupakan seorang pencipta kandungan itu pernah dinobatkan Naib Johan Kejohanan Asia Tenggara di Singapura dan tempat ketiga Kejohanan Asia Pasifik di Vietnam.

Malah, dia juga sering diundang untuk membuat persembahan serta ditawarkan menjadi juri bagi pertandingan sukan bola sepak gaya bebas di beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram