Usah ke Kelantan United kerana ada 3 sebab Nurshamil Ghani patut pulang ke Utara tanah air


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Nurshamil merupakan antara pemain terbaik dimiliki skuad TRW ketika ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

PENYERANG Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani dilaporkan semakin hampir untuk meninggalkan pasukan Pantai Timur itu akibat kemelut kewangan yang dihadapi mereka.

Hasrat itu sebelum ini diluahkan menerusi satu sesi siaran langsung TikTok bersama rakan sepasukannya yang mengulas akan situasi dan kemelut skuad The Red Warriors (TRW).

Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai hala tuju masing-masing memandangkan kebajikan mereka terus diabaikan walaupun desakan terus dilakukan terhadap pemilik kelab, Norizam Tukiman.

Dalam sesi berkenaan, Nurshamil dengan terbuka mengatakan bahawa hatinya sudah lebih tertarik dengan seteru terdekat skuad TRW, Kelantan United.

2101910

Sesi live TikTok pemain Kelantan FC yang membincangkan situasi semasa kelab.

Selain mempunyai skuad yang lebih baik, pasukan itu juga dilihat tidak mempunyai sebarang kemelut pengurusan meskipun diuruskan pihak kerajaan negeri.

Tidak cukup dengan itu, skuad Kijang Hijau juga mempunyai peluang lebih baik untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga lebih atas berbanding Kelantan FC selepas mengumumkan kehadiran ketua jurulatih baharu, Ailton Silva.

Namun, melihat kepada persiapan kelab Pantai Timur itu, terdapat tanda tanya mengenai hala tuju Nurshamil memandangkan kualitinya masih boleh ditagih mana-mana pasukan Liga Super yang lebih baik.

Ini termasuk bekas majikan penyerang itu sendiri, Penang FC memandangkan mereka kini menduduki tangga ke-10, mengatasi kedua-dua kelab yang berpangkalan di Kelantan itu.

Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga sebab untuk pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 itu untuk menyertai skuad Harimau Kumbang berbanding kelab-kelab lain ketika ini.

1. Kerjasama dengan Manzoor Azwira

Seperti mana dinyatakan di atas, Nurshamil sebelum ini pernah menyarung jersi Penang FC pada 2020 yang ketika itu berada di divisyen kedua bola sepak tanah air.

Dia yang menyertai pasukan itu selepas empat tahun bersama Melaka United mencetuskan tanda tanya dalam kalangan ramai pihak berikutan statistiknya yang kurang meyakinkan.

Tambahan pula, skuad Harimau Kumbang yang sudah tiga musim berada di Liga Perdana menjadikan rata-rata penyokong mereka mula menarik sorakan mereka setiap kali hari perlawanan.

2064153

Nurshamil ketika masih bersama Penang FA pada 2020. Facebook/FA Penang

Namun, Nurshamil mudah melenyapkan segala keraguan ke atasnya apabila kehadirannya membantu pasukan berkenaan muncul sebagai juara Liga Perdana pada musim pertamanya.

Apa yang menarik mengenai tempoh permainannya bersama pasukan Utara tanah air itu adalah kerana mereka dibimbing Manzoor Azwira Abd Wahid.

Jurulatih berusia 46 tahun itu mempunyai sentuhan cukup berkaliber bersama Penang FC memandangkan dia berjaya membawa mereka kembali ke Liga Super pada 2020.

Kini, dengan pengendali sebenar skuad Harimau Kumbang, Chong Yee Fatt direhatkan, Manzoor diberikan kepercayaan untuk membimbing pasukan itu.

Oleh itu, sekiranya Nurshamil memilih untuk menyertai Penang FC, ia merupakan langkah terbaik memandangkan kedua-dua individu tersebut dapat bekerjasama buat sekali lagi.

2. Beri dimensi baharu dalam aspek serangan

Tidak boleh dinafikan bahawa skuad Harimau Kumbang memberi kepercayaan penuh terhadap import yang dimiliki musim ini, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Antara pemain yang sering mencuri nama buat pasukan setakat 14 perlawanan Liga Super ini pastinya adalah tiga penyerang mereka iaitu Soony Saad, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo.

Kebolehan serta gaya permainan yang berbeza antara satu sama lain memberi Manzoor ruang untuk bereksperimen dengan pendekatan berlainan boleh diambil untuk setiap hari perlawanan.

2064151

Soony merupakan antara tonggak utama skuad Harimau Kumbang musim ini. Facebook/Penang FC

Namun, kehadiran mereka itu masih belum dapat memacu Penang FC ke tahap lebih baik apabila isu konsistensi terus menghantui pasukan itu.

Kesukaran tersebut boleh dikaitkan dengan peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menetapkan kuota import untuk setiap aksi liga.

Jadi, sekiranya Manzoor mahu membawa dimensi baharu buat jentera serangan, dia pastinya perlu mendapatkan seorang penyudah prolifik tempatan.

Tugas itu dilihat cukup sesuai buat Nurshamil memandangkan kebolehannya di hadapan pintu gol masih belum pudar walaupun lebih kerap 'diperam' di bangku simpanan Kelantan FC.

Persoalannya, dengan kelab itu sudah memiliki saiz skuad yang cukup besar ketika ini, adakah kehadiran penyerang itu akan dialu-alukan pihak pengurusan.

3. Penang FC bebas isu kebajikan

Punca utama di sebalik keputusan Nurshamil untuk meninggalkan skuad TRW adalah kerana dia berasakan kebajikan pemain tidak dijaga dengan baik.

Keengganan Norizam untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengakibatkan rata-rata pemain tidak mahu menampilkan aksi bersemangat.

Jadi, sasaran utama penyerang berusia 28 tahun itu pastinya mengenai sesebuah pasukan yang kerap memberikan penekanan buat tulang belakang kelab itu sendiri.

Norizam-Tukiman-Kelantan-FC-2022

Kelewatan membayar gaji pemain skuad TRW difahamkan berpunca daripada Norizam sendiri. Facebook/TRW Kelantan FC

Melihat kepada rekod lampau, skuad Harimau Kumbang tidak pernah terpalit dengan isu kewangan serius sehingga tersebar luas di dada akhbar.

Ini termasuk ketika mereka bergelut dengan cukup teruk musim lalu yang mana menyaksikan Penang FC menduduki tangga tercorot Liga Super.

Sekiranya Nurshamil mahukan kestabilan di dalam mahupun luar padang, pasukan lamanya itu dilihat sebagai alternatif terbaik dari aspek kebajikan.

Tambahan pula, suntikan dana daripada pihak pengurusan seperti akan terus meningkat melihat kepada sikap keterbukaan mereka untuk membawa masuk beberapa import berkualiti pada jendela perpindahan yang lalu.

Bagaimanapun, dengan cabaran cukup besar untuk menembusi skuad utama Penang FC, adakah Nurshamil akan mengambil risiko disisihkan daripada kesebelasan utama demi kesejahteraan di luar padang? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram