Tiru gaya rai jaringan, Townsend nafi ejek Ronaldo


  • Podium
  • Ahad, 03 Okt 2021

RONALDO enggan memberikan jersinya kepada Townsend yang meniru gaya meraikan jaringannya ketika Man. United dan Everton seri 1-1 dalam aksi EPL di Old Trafford malam Sabtu. — Getty Images

PENYERANG Everton, Andros Townsend menafikan bahawa dia tidak menghormati Cristiano Ronaldo setelah meniru gaya meraikan jaringan pemain bintang Manchester United itu ketika kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam Sabtu.

Townsend meluru ke arah peminat Everton di penjuru Old Trafford sebelum meniru gaya 'Siuuu' Ronaldo ketika dia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-65, sekali gus memadam kelebihan tuan rumah yang sebelum itu terlebih dulu di depan menerusi jaringan Antony Martial dua minit sebelum babak pertama berakhir.

Tidak hairanlah, Ronaldo menolak permintaan Townsend untuk bertukar jersi ketika di terowong sebaik aksi tamat, namun Townsend menegaskan bahawa dia tidak bermaksud apa-apa dengan tindakannya itu.

"Saya menghabiskan berjam-jam di padang latihan dan menyaksikan video untuk menganalisis tendangan bebas dan langkah Ronaldo serta cara dia mengabdikan diri untuk bola sepak.

"Jadi gaya itu bukan meniru, itu adalah tanda menghormati kerana Ronaldo idola saya," kata Townsend.

Bekas pemain sayap England itu gembira dengan gol kelima dalam sembilan perlawanan terakhir untuk Everton, tetapi percaya skuad kendalian Rafa Benitez boleh menang mudah dalam perlawanan itu.

"Saya sukakan bola sepak dan sangat gembira kerana berpeluang bermain untuk Everton serta menjaringkan gol.

"Saya sudah banyak kali mengatakan bahawa mesti menjaringkan gol dengan lebih konsisten sepanjang musim. Ini permulaan yang baik tetapi saya mampu melakukan lebih banyak lagi," kata Townsend. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

manchester united, everton, ronaldo, townsend, epl,