BINTANG Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah sememangnya diketahui dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan sebagai seorang pemain yang mesra dan amat mementingkan kebajikan.
Penyerang yang dipinjam ke pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu aktif menghulurkan bantuan buat golongan yang memerlukan sama ada di negara ini mahupun di kampung halamannya di Kumasi, Ghana.
Ketika beraksi bersama Sang Penyu, dia beberapa kali dilihat membuat kunjungan ke masjid, pusat pengajian tahfiz dan pusat jagaan anak-anak yatim.
Terbaharu, Mintah dilaporkan tidak lokek membantu sebuah pasukan bola sepak amatur yang kekurangan bola untuk menjalani latihan.
Perkara itu dikongsikan penulis sebuah portal sukan, Nur Hadi Mohamad di Facebook pada Rabu.
Nur Hadi bergambar bersama Mintah (kanan). — Facebook Nur Hadi
"Minggu lepas pemain import Terengganu yang dipinjamkan ke KL City, Mintah ajak lepak. Ada benda nak diluahkan katanya.
"Borak punya borak dia tanyalah aku habis kerja pukul berapa. Aku pun jawablah sejujurnya kebanyakan hari pukul 2 petang. Tapi dalam seminggu ada dua atau tiga kali dok latih team bola. Jadi penyudahnya ada hari sampai rumah lewat petang dah.
"Disebabkan dia pemain bola sepak profesional, aku pun kongsilah cerita masalah team aku ni bola tak cukup nak buat training. Habis kuat pun 3 biji saja. Memang 'pishang' la nak training macam tu gaya," kongsinya.
Tambah Nur Hadi, tanpa banyak bicara, Mintah meminta nombor akaun bank untuk berkongsi sumbangan bagi pembelian beberapa biji bola dan peralatan sukan lain.
"Dia tak cakap banyak terus minta nombor akaun aku, suruh beli lagi bola untuk team.
"Jadi untuk menunaikan hajat sedekah Jordan, maka hari ni (Rabu) selesailah pembelian 10 biji bola, dua beg bola, satu pam bola dan satu set marker di Decathlon.
"Jordan ni manusia yang baik dan suka bersedekah. Aku pernah tulis pasal dia. Semoga Jordan Mintah terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki," tulisnya lagi.
Bola yang dibeli di Decathlon hasil sumbangan daripada Mintah. — Facebook Nur Hadi
Perkongsian Nur Hadi itu mendatangkan perasaan senang dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Bahkan yang menariknya, di ruangan komen, sikap Mintah diterima baik orang ramai hingga ada yang mengaitkannya dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kalau dia Melayu, dah lama kami angkat jadi pemimpin kami," kata Muhd Syafiq Mat Jap.
Muhaimin Sulam secara berseloroh bertanya jika pemain itu menjadi calon wakil rakyat untuk bertanding dalam PRU15 di atas tiket Pakatan Harapan (PH).
"Dia bertanding atas tiket PH ke?" tulisnya. Kemungkinan pemain itu dikaitkan dengan PH memandangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Khalid Samad merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan parti komponen PH.
Sementara itu, Nur Hadi secara bergurau membalas komen itu dengan mengatakan Mintah calon parti Bebas dan menggunakan logo harimau.
Dia turut memuat naik gambar Mintah meraikan gol dengan merangkak dan mengaum bagaikan seekor harimau.
Sementara itu, menerusi posting sama di Instagram Nur Hadi, Mintah meninggalkan komen mengatakan bantuan yang diberikan itu adalah dengan izin ALLAH.
"Give thanks to ALLAH because He is the say of everything (Panjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana Dia yang mengatur segalanya)," tulis Mintah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram