Mamu Kedah, bintang JDT, Sabah antara 4 'key player' pernah bantu Harimau Muda menyinar di Eropah


  • Podium
  • Ahad, 30 Jul 2023

Jafri sewaktu beraksi bersama pasukan negara.

SEPULUH tahun lepas, industri bola sepak tanah air menerima khabar baik daripada kem skuad Bawah-18 (B-18) tahun negara selepas berjaya membawa pulang Piala Mintal 2013 dalam perlawanan Kejohanan Jemputan Piala Mintal di Zilina, Slovakia pada 30 Julai 2013.

Kejayaan itu bukan sahaja membuka mata dunia malah penyokong tanah air turut berbangga dengan pencapaian wira negara selepas pasukan Malaysia berjaya menjuarai kejuaraan di Eropah itu.

Skuad remaja negara bimbingan Aminuddin Hussin itu mencatat rekod tanpa kalah untuk menjuarai kejohanan selepas menewaskan beberapa kelab lain dari Republik Czech, Hungary, Slovenia dan Slovaskia.

syihan

Ahmad Syihan antara pemain yang pernah tidak dilepaskan oleh SSBJ untuk ke Eropah.

Skuad kebangsaan terbukti terlalu kuat selepas berpesta gol menewaskan pasukan Bawah-17 Tahun MSK Zilina dari Slovakia perlawanan akhir kejohanan itu dengan keputusan 6-0.

Bukan itu sahaja, penyokong negara turut dikejutkan selepas ubi muda tanah air, Muhammad Jafri Firdaus Chew bergelar pemenang anugerah Kasut Emas berikutan merekodkan lima gol termasuk hatrik pada perlawanan akhir.

Ketua jurulatih pasukan, Aminuddin Hussin ketika itu, dilaporkan memuji aksi persembahan yang ditampilkan oleh pemain yang baru berusia 16 tahun tersebut.

"Jafri menunjukkan banyak potensi. Sekarang nampak pasukan ada lebih banyak pilihan di bahagian serangan.

"Secara keseluruhan, pasukan menunjukkan perkembangan yang baik dalam kempen ini tetapi banyak juga yang perlu diperbaiki," katanya dalam laporan The Star.

Skuad Harimau Muda C juga dilaporkan sedang menjalani persiapan bagi kempen Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia pada 9 hingga 22 September 2013 selain kelayakan Piala AFC B-19 di Zhejiang, China, bermula 8 hingga 12 Oktober.

Skuad kebangsaan yang meninggalkan Malaysia pada Julai untuk menjalani latihan selama 36 hari di Eropah, dijadualkan bermain tujuh lagi perlawanan di Slovakia sebelum pulang ke tanah air pada 20 Ogos.

Tiga pemain utama, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Mohd Raphi Azizan Mariappen dan Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar dilaporkan dalam perancangan menyertai pasukan itu.

resizeimage.net-output-9

Mohd Raphi Azizan ketika bersama skuad KDA FC.

Namun, ketiga-tiga mereka enggan dilepaskan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk menyertai latihan di Eropah ketika itu.

"Kehadiran ketiga-tiga pemain itu dilaporkan memantapkan lagi pasukan negara. Apa yang perlu kami lakukan ialah menjadikan mereka satu pasukan yang saling bekerjasama antara satu sama yang lain,” kata Aminuddin.

Dalam saingan AFF, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Brunei, Indonesia, Vietnam dan Thailand. Bagi kelayakan AFC, Malaysia berada dalam Kumpulan I bersama Jepun, China dan Macau.

Kini, bekas penyerang Harimau Muda dan Penang FC, Jafri Chew beraksi bersama Sabah FC selain Arif Fadzilah yang turut membantu pertahanan Terengganu FC.

Tidak lupa juga dengan tonggak utama pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebagai penjaga gol utama kelab itu.

Mohd Raphi Azizan atau nama panggilannya, Mamu Kedah pula sebagai ejen bebas, menurut Transfermarkt.com dengan kelab terakhirnya ialah KSR Sains. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram