[VIDEO] Masalah gaji rupanya, 2 kumpulan lagak gengster bersenjata tiba-tiba berentap di Sibu


  • Tular
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki bersenjata saling berbalas serangan di kampung Nanga Machan, Kanowit, Sibu, Sarawak pada Isnin.

SEKUMPULAN lelaki bersenjata berlagak gengster dirakam saling bergocoh dan bertumbuk di sebuah jalan raya dekat Pekan Nanga Machan, Kanowit, Sibu, Sarawak pada Isnin.

Hasil siasatan awal polis mendapati kekecohan itu berlaku ekoran masalah tunggakan gaji.

Ketika kejadian, sekumpulan lelaki menaiki kenderaan jenis Proton X50, pada mulanya dilihat mengeluarkan senjata tajam dan besi sebelum menyerang beberapa lagi individu lain di situ.

Kumpulan itu dilihat menyerbu sebuah rumah sebelum mula mengasari satu lagi kumpulan bersenjata yang menaiki Toyota Hilux.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), insiden tersebut mula tular sejak Rabu serta meraih lebih 200 perkongsian di laman Facebook setakat ini.

Akibat serangan bertubi-tubi, beberapa individu kemudiannya dilihat melarikan diri dari lokasi tersebut dengan menaiki kenderaan Toyota Hilux berwarna putih tersebut.

Meskipun cuba meloloskan diri, kereta terbabit masih cuba dikejar beberapa lelaki yang menendang dan memecahkan tingkap di bahagian pemandu sebelum kenderaan itu akhirnya berjaya meninggalkan lokasi berkenaan.

Di ruangan komen, rata-ratanya berpendapat ia merupakan satu kejadian pergaduhan melibatkan kumpulan samseng di perkampungan tersebut.

Dalam pada itu, polis mengesahkan tujuh lelaki tempatan ditahan susulan satu pergaduhan dipercayai berpunca daripada masalah tunggakan gaji.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, lima daripada mereka ditahan pada pukul 6.30 petang Selasa manakala dua lagi ditahan pada pukul 11 pagi Rabu.

"Kesemua suspek berusia 20 hingga 45 tahun direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pergaduhan yang tular menerusi media sosial itu berlaku kira-kira 4.30 petang dengan menyebabkan seorang lelaki cedera pada bahagian tangan akibat dilanggar oleh kenderaan dipandu seorang lelaki lain.

Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 2.45 petang dan 3.15 petang Selasa daripada kedua-dua pihak yang terlibat.

Tega menafikan bahawa kes tersebut melibatkan unsur perkauman seperti yang ditularkan dalam media sosial sekali gus memberi jaminan satu siasatan yang telus dan teliti akan dilakukan segera.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi berkaitan kes itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram